Federer mampu bermain sehingga usia 40 jika...

Ian Johan Ariff
April 2, 2019 10:33 MYT
Roger Federer merangkul gelaran ATP ke-101 di Miami pada Ahad. - AP
PADA usia 37 tahun, Roger Federer masih mampu bersaing dengan pemain-pemain tenis yang jauh lebih muda dan memenangi gelaran jelajah ATP yang ke-101.
Kejayaan di ATP Masters 1000 Miami adalah yang gelaran Masters ke-28 dan juga yang keempat buatnya di Miami.
Pengalamannya beraksi di Miami merupakan salah satu kelebihan yang dimilikinya.
Beliau beraksi sejak zaman remaja di Flamingo Park dan The Biltmore, sebelum menyertai kejohanan Terbuka Miami yang pertama pada 1999.
Pada Ahad, pemain tenis dari Switzerland itu mengatasi pemain tuan rumah, John Isner 6-1, 6-4 untuk muncul juara pertama di Stadium Hard Rock pada Ahad.
Persoalannya adakah Federer mampu untuk bermain melangkaui usia 40 tahun?
Menurut bekas pemain tenis, Daniela Hantuchova, Federer mampu beraksi pada usia 40-an dengan dua syarat.
Pertama, tidak dibelenggu kecederaan dan kedua, jika beliau masih gembira untuk bermain seperti sekarang.
Malah, Hantuchova menjangkakan Federer akan menyertai kejohanan yang lebih kecil untuk menyamai rekod bilangan kejuaraan yang dipegang Jimmy Connor.
Untuk melakukannya, Federer perlu menang sembilan lagi gelaran ATP.
Setakat ini, Federer mengehadkan penyertaannya pada kejohanan yang besar sahaja namun dia mungkin menyertai kejohanan ATP 250 yang lebih kecil dalam usaha menjadi pemain yang mempunyai paling banyak gelaran di dunia.
Dalam temubual di Amazon Prime, Hantuchova juga menyatakan mereka sudahpun mengatur jadual permainannya sehingga 2025 dan juga gembira jika dia dapat sertai kejohanan yang lebih kecil.
Federer masih memegang rekod sebagai pemain yang paling banyak memenangi kejohanan Grand Slam dengan 20 gelaran, diikuti Rafael Nadal, 17 kali dan Novak Djokovic, 15.
#ATP 250 #ATP Masters #Daniela Hantuchova #Grand Slam #Jimmy Connor #John Isner #Miami Open #Novak Djokovic #Rafael Nadal #Roger Federer #Switzerland #tenis
;