Federer berehat panjang lagi demi pembedahan lutut ketiga

Astro Arena
Ogos 17, 2021 09:33 MYT
Pemain nombor sembilan di dunia itu terlepas aksi lebih dari setahun ketika menjalani pembedahan lutut pertamanya sejurus Terbuka Australia 2020. - Foto fail/REUTERS
ROGER Federer tidak mengambil bahagian dalam Terbuka Amerika Syarikat (AS) yang akan datang selepas pemegang 20 grand slam itu mengumumkan bakal menjalani pembedahan lutut yang akan mengetepikannya selama berbulan-bulan.
Pemain berusia 40 tahun itu tidak beraksi sejak tewas kepada Hubert Hurkacz dalam suku akhir Wimbledon, Julai lalu, dan hanya menyertai lima kejohanan tahun ini.
Federer telah menjalani dua pembedahan di lutut kanannya pada 2020 dan legenda Switzerland tersebut berharap prosedur lanjutan itu akan membolehkannya kembali ke gelanggang.
"Saya ingin memberi anda sedikit maklumat mengenai apa yang berlaku sejak Wimbledon lalu," katanya, yang memenangi lima gelaran terbarunya di Flushing Meadows pada 2008, seperti yang disiarkan dalam sebuah pesan video di laman Instagram.
"Seperti yang dibayangkan, ia tidak mudah. ​​Saya telah banyak kali merujuk doktor terhadap lutut saya ini, mendapatkan segala maklumat yang diperlukan kerana ia menyakitkan terutama dalam musim kejohanan rumput dan Wimbledon.
"Ia bukan cara yang tepat untuk terus maju, tapi sayangnya mereka memberitahu saya demi jangka masa sederhana dan panjang untuk lebih sihat maka saya akan memerlukan pembedahan. Jadi saya memutuskan untuk melakukannya.
"Saya perlu bertongkat selama beberapa minggu dan tersisih selama berbulan-bulan, jadi tentunya ia adalah sukar buat saya dalam beberapa aspek.
"Tetapi pada masa yang sama, saya sedar ia adalah tindakan yang tepat untuk dilakukan kerana saya mahu sihat, saya mahu berlari lagi dan juga ingin memberikan harapan untuk kembali menyertai kejohanan dengan prestasi yang baik."
Pemain nombor sembilan di dunia itu terlepas aksi lebih dari setahun ketika menjalani pembedahan lutut pertamanya sejurus Terbuka Australia 2020.
"Jangan salah sangka, saya realistik," katanya.
"Saya tahu betapa sukarnya pada tahap usia ini untuk melakukan satu lagi pembedahan dan mencubanya.
"Tetapi saya mahu sihat, saya akan melalui proses pemulihan yang saya fikir ia juga bertujuan untuk mengekalkan saya terus aktif. Ia akan membantu saya dalam tempoh yang panjang ini."
#tenis #Roger Federer #pembedahan lutut #rehat #Terbuka AS
;