Fazriq idam emas pada Kejohanan Badminton Remaja Dunia 2022

Bernama
Julai 24, 2022 06:00 MYT
Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia Berhad Sean Wang (kanan) bergambar bersama duta AJBC yang juga pemain muda kebangsaan Fazriq Razif (kiri) dan Nurshuhaini Azman (dua, kiri). - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 bakal menjadi pentas persiapan terbaik buat bintang muda negara, Muhammad Fazriq Mohamad Razif dalam misi membawa pulang emas di Kejohanan Badminton Remaja Dunia 2022 di Santander, Sepanyol yang akan bermula pada 24 hingga 30 Okt ini.
Juara Kejohanan Jemputan Shonai Bawah 15 Tahun di Jepun pada edisi 2019 itu berkata beliau berazam mahu memberikan persembahan terbaik memandangkan kejohanan remaja dunia itu adalah penampilan sulungnya selain ia turut menjadi penampilan terakhirnya susulan melebihi had umur bagi edisi akan datang.
"Saya rasa Sukma ini (adalah) tempat pemanas badan terbaik untuk pergi ke Kejohanan Badminton Remaja Dunia di mana pada kedua-dua kejohanan itu (Sukma dan Remaja Dunia) saya akan bermain acara beregu namun pasangan gandingan masih belum diketahui dan akan ditentukan jurulatih nanti.
"Disebabkan ini (adalah) penampilan terakhir di Remaja Dunia, saya mahu berjuang bermati-matian untuk memastikan dapat menjadi juara pada kali ini bersama gandingan," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada pelancaran Kejohanan Badminton Junior Allianz (AJBC) di Sports Arena Puchong, di sini pada Ahad.
Muhammad Fazriq turut memaklumkan fokusnya ketika ini adalah untuk memperbaiki mutu permainan setelah diletakkan menjalani sesi latihan bersama pasukan senior negara kendalian Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky bermula Isnin lepas (18 Julai).
Atlet berusia 18 tahun itu bagaimanapun mengakui masih mencari rentak untuk menyesuaikan diri dengan keadaan semasa berikutan terdapat perbezaan corak latihan berbanding ketika beliau berada di dalam pasukan junior.
"Saya rasa latihan di senior level sangat keras dan lasak tetapi itu menjadikan saya lebih kuat semangat sebab ingin menjadi pemain yang bagus pada masa hadapan," katanya yang akan mewakili Kuala Lumpur bagi penampilan pertamanya di Sukma.
Sementara itu, pemain perseorangan wanita negara Siti Nurshuhaini Azman,18, berkata beliau dan rakan sepasukan sedang menyesuaikan diri dengan rejim latihan pengendali baharu James Chua yang baharu melapor diri secara rasmi Isnin lepas.
"Jurulatih James baru masuk minggu ini, jadi saya dan rakan sepasukan masih dalam proses (untuk) biasakan (diri) dengan cara latihan tetapi saya yakin beliau (akan) bawa perubahan dalam cara permainan kami untuk jadi lebih matang," katanya.
Siti Nurshuhaini berkata tumpuannya ketika ini adalah untuk menambah baik keadaan fizikal untuk beraksi cemerlang bagi mewakili Selangor pada Sukma, namun masih belum pasti sekiranya akan mewakili negara pada cabaran di Kejohanan Badminton Remaja Dunia 2022.
Dalam pada itu, kejohanan AJBC yang dikhususkan kepada pemain kategori Bawah 13 Tahun (B-13) dan Bawah 15 Tahun (B-15), menampilkan empat acara iaitu perseorangan lelaki, beregu lelaki, perseorangan wanita dan beregu wanita.
Sebanyak tujuh pusingan kelayakan diadakan di kejohanan berkenaan yang bermula pada Ahad dengan acara kemuncak akan diadakan hujung November ini.
-- BERNAMA
#Muhammad Fazriq Mohamad Razif #Kejohanan Badminton Remaja Dunia 2022 #Rexy Mainaky #badminton
;