Fauzi Saari mahu berehat di Kulim
Astro Awani
Januari 28, 2013 20:25 MYT
Januari 28, 2013 20:25 MYT
Ahmad Fauzi Saari mahu berehat di kampungnya di Kulim, Kedah sehingga pulih.
Terdahulu, pemain Felda United itu terlibat dalam kemalangan jalan raya berhampiran Lembah Beringin, Hulu Selangor awal pagi Ahad.
Ketika ditanya mengenai kemalangan itu, Fauzi berkata segalanya berlaku terlalu pantas tanpa disedarinya.
Rakan Fauzi, Muhammad Khairul Adnan Zakaria maut selepas kereta BMW yang dipandunya terbabas sebelum melanggar penghadang jalan di KM407.5 arah utara Lebuhraya Utara-Selatan (Plus).
Fauzi pula mengalami patah tangan kanan dan menerima rawatan di hospital Kuala Kubu Baru.
Jenazah Muhammad Khairul selamat disemadikan di Kampung Bukit Lala.
Fauzi turut menambah akan membuat rawatan susulan di Hospital Kulim dan belum pasti bila dapat beraksi semula.
Pemain berusia 30 tahun itu pernah mewakili Kedah dan Johor FC sebelum berhijrah ke Felda United untuk saingan Liga Super musim ini.