Fauzi beri KAFA 30 hari selesai tuntutan gaji
Astro Arena
Januari 14, 2021 05:42 MYT
Januari 14, 2021 05:42 MYT
BEKAS penyerang Kelantan, Fauzi Rozlan, memberikan kata dua apabila menolak pembayaran secara berperingkat berhubung tunggakan gajinya daripada Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA).
Dia menggesa tuntutan penuhnya diselesaikan KAFA dalam tempoh 30 hari seperti yang ditetapkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
"Saya rasa kalau secara berperingkat, saya tidak bersetuju kerana kita sedia maklum dengan keadaan ekonomi sekarang, saya sudah tertangguh untuk membayar komitmen yang ada.
"Antaranya seperti pinjaman rumah, kenderaan, pembiayaan persekolahan anak dan lain-lain lagi," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
Fauzi antara 11 bekas pemain Kelantan yang terpalit dengan isu ini. Dia lega apabila perkara ini mendapat campur tangan FAM untuk diselesaikan.
Tuntutannya terhadap KAFA adalah yang paling tinggi, iaitu sekitar RM60,000 dan secara keseluruhan, KAFA masih berhutang lebih daripada RM180,000 sewaktu badan itu ditadbir oleh pengurusan terdahulu.
"Saya sudah menantikannya lebih dari setahun. Saya ingin mendapatkan hak saya daripada KAFA.
"Isunya adalah sebelum saya meninggalkan Kelantan, saya pernah menuntut hak saya secara peribadi di antara saya dan KAFA.
"Alasan yang diberikan mereka adalah disebabkan faktor COVID-19 ini," tambahnya.
#FAM
#gaji
#tunggakan
#komitmen
#KAFA
#hutang
#Kelantan
#bola sepak
#kata dua
#pembayaran berperingkat
#tuntutan penuh
#ekonomi
#pinjaman
#campur tangan