Fatehah yakin tiada masalah buru pingat emas Sukan SEA
Bernama
Februari 20, 2017 14:39 MYT
Februari 20, 2017 14:39 MYT
Pelumba trek wanita negara, Fatehah Mustapa yakin beliau tidak menghadapi masalah meraih pingat emas acara berbasikal temasya Sukan SEA ke-29 di Kuala Lumpur, Ogos ini.
Fatehah, 27, dijangka bertanding dalam tiga kategori iaitu keirin, pecut dan pecut berpasukan bersama Farina Shawati Mohd Adnan.
"Fokus saya sekarang adalah tiga acara tersebut namun jika pada Sukan SEA nanti ada acara 500 meter ujian masa, saya akan masuk juga. Rasanya saya tidak mempunyai masalah bersaing dengan pelumba ASEAN berbanding pelumba Asia.
"Namun, saya tidak boleh terlalu yakin, masih kena buat latihan intensif agar kemenangan berpihak kepada saya. Saya harap rakan sepelatih saya, Farina pun dapat keyakinan yang sama," katanya.
Mengulas kegagalannya melayakkan diri ke Kejohanan Dunia musim ini, Fatehah mengakui kecewa ekoran tidak dapat bersama rakan sepasukannya, Azizulhasni Awang dan Muhd Shah Firdaus Sahrom berjuang di kejohanan tersebut.
Namun, Fatehah berkata beliau harus kekal positif dan perlu berusaha lebih keras untuk memastikan prestasi yang lebih baik dapat dicapai pada musim ini dan musim hadapan.
Fatehah yang sebelum ini sudah menyertai Kejohanan Dunia sebanyak empat kali berkata beliau gagal mengumpul mata yang mencukupi untuk menempah slot dalam acara keirin dan pecut tahun ini.
"Saya rasa mata saya masih belum cukup untuk layak dalam acara keirin dan pecut. Jadi saya kena berlatih untuk Piala Dunia dan Kejohanan Dunia seterusnya.
"Sebelum Sukan SEA bermula memang saya tiada sebarang kejohanan yang akan disertai. Hanya fokus kepada program latihan," katanya.
-- BERNAMA