Fatehah raih gangsa, Azizulhasni dan Josiah ke suku akhir

Bernama
Februari 7, 2015 07:45 MYT
Fatehah menyasarkan untuk meraih pingat emas dalam acara keirin esok walaupun dijangka berdepan saingan sengit. - Gambar fail
Pelumba berbasikal trek kebangsaan, Fatehah Mustapa, meraih pingat gangsa dalam acara pecut wanita elit pada Kejohanan Berbasikal Asia 2015 (ACC 2015) di Korat, Thailand, hari ini.
Pelumba yang berpangkalan di Melbourne, Australia itu mengalahkan pelumba dari China, Shi Jinging dalam penentuan pingat gangsa, sekaligus pingat kedua peribadi selepas memenangi pingat perak dalam acara 500 meter ujian masa individu, Khamis lepas.
Lee Wai Sze dari Hong Kong memenangi pingat emas dalam acara berkenaan manakala pingat perak menjadi milik pelumba dari China, Lin Junhong.
Dalam pada itu, Fatehah menyasarkan untuk meraih pingat emas dalam acara keirin esok walaupun dijangka berdepan saingan sengit Lee yang juga pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2012 di London.
Pelumba kelahiran Terengganu itu berkata kemenangan dalam acara keirin itu bakal mencerahkan peluangnya untuk beraksi pada Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.
"Saya mahu menambah mata kelayakan ke Sukan Olimpik 2016 kerana sudah selesa dalam kutipan mata dalam acara pecut," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) hari ini.
Sementara itu, jaguh berbasikal negara, Mohd Azizulhasni Awang dan Josiah Ng menempah slot ke peringkat suku akhir acara pecut elit lelaki selepas memenangi saingan pusingan kedua.
Mohd Azizulhasni yang meraih emas sulung dalam acara pecut, Khamis lepas mudah menewaskan pelumba Taiwan, Kuo Chia Peng manakala Josiah pula diberikan saingan sengit sebelum mengatasi pelumba Iran, Khademi Ehsan.
Seorang lagi pelumba negara, Muhammad Shah Firdaus Shahrom turut melangkah ke suku akhir acara tersebut selepas memenangi 'repechage' dengan mengenepikan dua pelumba dari China, Xu Chao dan Bao Saifei.
#acc #basikal #Fatehah Mustapa #Malaysia #pingat gangsa #Thailand
;