Fatehah kecewa, Farina Shawati cipta kejutan acara keirin

Bernama
April 8, 2018 06:14 MYT
Dalam acara keirin wanita yang berlangsung di Anna Meares Velodrome, Fatehah (gambar) terpaksa berpuas hati di kedudukan kelapan. - Gambar fail
Skuad berbasikal negara pulang dengan tangan kosong apabila satu-satunya harapan negara yang tinggal, Fatehah Mustapa untuk meraih pingat acara keirin tidak kesampaian di Sukan Komanwel 2018.
Lebih pahit, pelumba kelahiran Terengganu itu yang pada awalnya menamatkan perlumbaan di tempat kedua dan layak untuk penentuan pingat, turun di kedudukan tercorot ekoran adanya protes daripada pelumba Kanada yang mendakwa Fatehah menghimpit dan menghalang kayuhannya.
Bagaimanapun, seorang lagi pelumba negara, Farina Shawati Mohd Adnan yang memasuki peringkat repecharge, mencipta kejutan apabila mara ke peringkat akhir dan menamatkan perlumbaan di tempat keempat.
Pengurus pasukan berbasikal trek negara Ramlay Ibrahim berkata kem berbasikal kecewa kerana tidak dapat menyumbang pingat pada temasya kali ini.
"Kecewa memang kecewa, semalam pun kita terlepas dua gangsa. Kalau Fatehah ke final tadi, mungkin kita dapat sebutir pingat tapi nasib tidak menyebelahi kita.
"Tapi pujian kena bagi juga kepada Farina sebab dia mencipta satu kejutan dengan menduduki tempat keempat. Dan antara dia dengan pelumba pingat gangsa itu, sangat dekat cuma bukan nasib kita kali ini.
"Ini satu peningkatan yang baik untuk Farina sebab dia tidak pernah masuk final apatah lagi di temasya besar seperti Sukan Komanwel ini," katanya kepada Bernama.
Dalam acara keirin wanita yang berlangsung di Anna Meares Velodrome, Fatehah terpaksa berpuas hati di kedudukan kelapan. Pelumba tuan rumah mendominasi acara keirin menerusi Stephanie Morton dan Kaarle McCulloch yang masing-masing meraih emas dan perak.
Pingat gangsa dimenangi pelumba New Zealand, Natasha Hansen.
Sementara itu, Ramlay berkata walaupun tanpa sebarang pingat pada edisi 2018, beberapa pelumba telah menunjukkan prestasi yang membanggakan seperti Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang mengejutkan juara dunia acara pecut Matt Glaetzer dari Australia yang mendapat liputan meluas media antarabangsa.
"Kita berbangga dengan performance atlet kita... mereka berikan high standard performance dan fight dan mencipta kejutan. Apa yang dilakukan oleh Shah itu menjadi buah mulut ramai, dan Farina hari ini, kita sendiri tidak sangka dia masuk final dan dapat tempat keempat," katanya.
Menurut Ramlay, dengan pencapaian kali ini, dapat disimpulkan bahawa skuad berbasikal trek negara tidak ketandusan pelapis untuk menggantikan Mohd Azizulhasni Awang dan juga Fatehah sekiranya pelumba-pelumba senior bersara satu hari kelak.
-- BERNAMA
#Australia #basikal #basikal trek #Farina Shawati Mohd Adnan #Fatehah Mustapa #keirin #Natasha Hansen #New Zealand #Ramlay Ibrahim #Sukan Komanwel 2018 #terengganu #wanita
;