Fasa peralihan ke endemik titik kebangkitan industri sukan - MFL
Bernama
Mac 9, 2022 04:19 MYT
Mac 9, 2022 04:19 MYT
KUALA LUMPUR: Perancangan pembukaan semula negara secara selamat dan berperingkat bakal menjadi titik kebangkitan buat kesemua industri, khususnya sukan yang dihimpit detik sukar sejak pandemik COVID-19 melanda pada Mac 2020.
Sambil menyambut baik berita Fasa Peralihan Ke Endemik bermula 1 April ini, Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Datuk Ab Ghani Hassan yakin ia akan memberikan suntikan motivasi kepada seluruh rakyat Malaysia dalam pelbagai industri, termasuk sukan bola sepak tanah air.
"MFL mahu merakamkan penghargaan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang selama ini sentiasa menyokong dan mendukung perjalanan bola sepak negara, khususnya Liga Malaysia (Liga-M) sepanjang pandemik COVID-19 melanda.
"Sudah pasti MFL menyambut baik pengumuman Perdana Menteri. Sudah pasti orang ramai menantikan pengumuman ini dan saya percaya inilah titik kebangkitan seluruh rakyat Malaysia," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Malaysia akan memasuki 'Fasa Peralihan ke Endemik' mulai 1 April ini, yang bakal menyaksikan lebih banyak kelonggaran dalam pelbagai sektor dan pembukaan sepenuhnya sempadan negara.
Kelonggaran itu termasuk pemansuhan had kapasiti 50 peratus yang ditetapkan untuk aktiviti yang melibatkan perkumpulan ramai seperti kehadiran penonton ke stadium.
Sebelum ini, industri sukan antara terkesan teruk berikutan langkah-langkah pencegahan penularan pandemik itu, termasuk pembatalan pertandingan, peraturan ketat menganjurkan sesuatu kejohanan serta kehadiran penonton juga dihadkan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MFL Stuart Ramalingam percaya MFL dapat mengorak langkah dengan lebih berjaya melalui peralihan itu, sekali gus Malaysia mampu menjana ekonomi yang lebih baik.
"MFL, kelab-kelab dan penyokong sentiasa menyokong keputusan kerajaan dan sudah pasti, MFL juga antara organisasi yang berusaha keras membantu ekonomi negara dan dalam masa yang sama, bertindak untuk mengekang wabak ini daripada merebak sepanjang penganjuran Liga-M," katanya.
Dalam pada itu, Stuart berkata prosedur operasi standard (SOP) kemasukan penonton ke stadium masih kekal buat masa ini, sebelum dilakukan pindaan sebaik menerima kemas kini terbaharu daripada KBS nanti.
-- BERNAMA