FAS teruja jadi tuan rumah Piala Solidariti AFC - Abdul Wahab

Astro Arena
November 1, 2016 11:35 MYT
Menurut FAS, pemilihan Kuching sebagai tuan rumah sebenarnya amat bertepatan dengan usaha persatuan itu, untuk melaksanakan pelan pembangunan bola sepaknya. - Gambar fail
BANGGA dengan pemilihan Sarawak sebagai tuan rumah Piala Solidariti AFC 2016, Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Abdul Wahab Rahim, memberi komitmen untuk memastikan kejohanan bertaraf antarabangsa itu berlangsung dengan lancar.
Abdul Wahab berkata, pihaknya akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), untuk memastikan kejohanan tersebut mematuhi piawaian dan kehendak Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
"Saya gembira dan teruja kerana kejohanan itu turut mendapat sokongan dan dokongan daripada kerajaan negeri.
"Sokongan tersebut sebenarnya banyak membantu, dan kami berharap ia akan memudahkan usaha kami untuk menarik minat orang ramai terhadap sukan ini,” katanya ketika dihubungi di Kuching.
Abdul Wahab berkata, pemilihan Kuching sebagai tuan rumah sebenarnya amat bertepatan dengan usaha persatuan itu, untuk melaksanakan pelan pembangunan bola sepaknya.
"Ia juga merupakan medan untuk menguji FAS selaku tuan rumah, untuk mengelola kejohanan bola sepak bertaraf antarabangsa.
Oleh itu katanya, peminat-peminat bola sepak tempatan diminta untuk datang beramai-ramai menyaksikan aksi-aksi menarik yang bakal ditampilkan dalam kejohanan tersebut, yang akan berlangsung di Stadium Negeri dan Stadium Sarawak.
Piala Solidariti AFC Malaysia 2016, akan bermula esok hingga 15 November depan. Ia disertai oleh tujuh pasukan iaitu Brunei Darussalam, Timor Leste, Laos, Macau, Nepal, Sri Lanka dan Mongolia. Malaysia bagaimanapun tidak menyertai kejohanan tersebut.
Nepal, Brunei Darussalam dan Timor Leste diundi dalam Kumpulan A manakala Laos, Macau , Sri Lanka dan Mongolia, akan beraksi dalam Kumpulan B.
#Abdul Wahab Rahim #afc #FAS #piala solidariti #Sarawak
;