FAS sokong TMJ terajui FAM - Subahan
Bernama
Februari 26, 2017 21:35 MYT
Februari 26, 2017 21:35 MYT
Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) tetap menyokong Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada kongres badan induk itu, 23 Mac ini.
Presiden FAS, Datuk Subahan Kamal berkata Tunku Ismail adalah calon terbaik yang mempunyai idea kreatif serta berkebolehan.
"FAS memberi sokongan 100 peratus untuk TMJ. Tunku Ismail adalah individu yang tepat kerana masih muda serta berani dalam memperjuangkan bola sepak yang terbukti dengan kecemerlangan pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT)," katanya.
Beliau yang juga Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) ditemui pemberita selepas mempengerusikan perjumpaan bersama setiausaha persatuan hoki negeri di Wisma OCM di sini.
Subahan berkata sokongannya yang memihak kepada Tunku Ismail bukan kerana kepentingan peribadi sebaliknya beliau yakin pemilik JDT itu mampu mengubah landskap bola sepak negara.
Namun pada masa sama, beliau tidak memperkecilkan kelebihan seorang lagi calon kerusi panas FAM itu, Tan Sri Annuar Musa.
"Masing-masing ada kehebatan tersendiri, kita tidak boleh perkecilkan kehebatan mereka.
"Tan Sri (Annuar) telah menaikkan bola sepak Kelantan manakala TMJ dalam sekelip mata telah mengubah landskap bola sepak Johor," katanya.
Sementara itu, Subahan yang tercalon untuk posisi Timbalan Presiden FAM turut berjanji tidak akan menerima sebarang elaun, sebaliknya akan berusaha mencari dana untuk sukan bola sepak negara sekiranya terpilih.
Menurutnya, mereka yang terpilih nanti perlu berani bersuara untuk kepentingan serta kebajikan persatuan bola sepak negeri.
"Saya tidak akan jadi 'yes man' dan akan pastikan kebajikan persatuan negeri diperjuangkan...semua pihak perlu tahu tanpa anggota gabungan, tiadalah FAM.
"Sebelum ini, FAM hanya menunggu presiden bekerja, perkara ini perlu berubah, timbalan presiden, naib presiden juga perlu bekerja...perlu cari dana," katanya.
Subahan akan berdepan saingan daripada penyandang, Datuk Seri Afandi Hamzah dan Datuk Yusof Mahadi yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA). -- BERNAMA