FAS sasar lahir 250 pengadil di Selangor menjelang akhir 2020

Bernama
Disember 29, 2019 05:29 MYT
Chandra Sekar (tengah) dan Abdul Basith (dua, kiri) serta Sathianathan (dua, kanan) ketika hadir pada Majlis Perasmian Seminar Pengadil FAS Bagi Sesi Liga FAS Musim 2020 di Glenmarie Shah Alam, 29 Dis, 2019. --fotoBERNAMA
Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) meletakkan sasaran untuk melahirkan 250 pengadil bagi mengadili perlawanan bola sepak di Selangor, menjelang akhir tahun depan.
Naib Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAS, Abdul Basith Abdul Hamid berkata beberapa program akan dilaksanakan bagi menarik minat ramai, terutamanya golongan belia, menyertai bidang pengadilan.
"Kami telah menyusun beberapa program untuk menarik minat golongan belia dan menjadikan bidang pengadilan ini sebagai kerjaya kedua mereka.
"Kerjaya ini juga akan mampu menghasilkan atau menjana pendapatan yang agak lumayan dan melonjakkan taraf ekonomi mereka," katanya kepada pemberita pada majlis Perasmian Seminar Pengadil Persatuan Bola Sepak Liga FAS 2020.
Abdul Basith berkata FAS juga komited dalam usaha melahirkan lebih ramai kaum wanita menyertai bidang pengadilan di Selangor, dan menurutnya bidang pengadilan yang berkembang maju ketika ini akan membuka lebih banyak peluang buat kaum wanita menceburinya.
Seminar tahunan pada Ahad bertujuan mengulangkaji undang-undang permainan supaya pengadil dapat membuat keputusan yang tepat, dan ia menyaksikan penyertaan 174 pengadil yang akan mengharungi Liga FAS musim 2020.
Majlis dirasmikan oleh Pengerusi Ahli Jawatankuasa FAS, Chandra Sekar, dan ia turut dihadiri Ketua Jurulatih Selangor, B. Sathianathan.
-- BERNAMA
#Abdul Basith Abdul Hamid #bola sepak #FAS #pendapatan #pengadil #Selangor #ulangkaji undang-undang permainan
;