FAS enggan melatah isu Presiden FAS

Astro Arena
Disember 31, 2016 22:04 MYT
Biarpun tanpa sebarang dana daripada kerajaan negeri, FAS tetap positif mereka mampu mendapatkan penaja untuk mengharungi musim 2017.
PERSATUAN Bola Sepak Selangor (FAS) akan mengambil sikap tunggu dan lihat mengenai kenyataan Datuk Seri Azmin Ali berhubung tidak mahu lagi bersama badan induk bola sepak Selangor itu pada musim depan.
Setiausaha Agungnya, Rosman Ibrahim, mengambil pendekatan berkecuali, sebaliknya mahu menunggu surat rasmi daripada Azmin jika benar berhasrat meletak jawatan.
Masih kurang jelas pendirian Azmin, dia mewakili exco FAS bersedia apa sahaja kemungkinan yang berlaku, termasuk membincangkan pelan alternatif jika Azmin mengundur diri.
Selain masih terkejut dengan pendirian Azmin, Rosman mengakui sesuatu yang sedikit janggal jika FAS tidak lagi dinaungi oleh Menteri Besar Selangor.
"Bagi pihak FAS, saya tidak boleh komen apa-apa dan kami cuma perlu tunggu surat rasmi mengenai isu ini.
"Selepas menerima surat rasmi itu, saya perlu mengadakan mesyuarat exco untuk membincangkan perkara ini dan pihak exco akan membuat keputusan sama ada menerima atau tidak (surat peletakan jawatan itu)," katanya.
Semalam, Azmin menerusi satu kenyataan media menyatakan, dia dan bekas pengurus pasukan, Amiruddin Saari, mengambil keputusan untuk tidak bersama lagi dengan pengurusan FAS.
Biarpun tanpa sebarang dana daripada kerajaan negeri, FAS tetap positif mereka mampu mendapatkan penaja untuk mengharungi musim 2017.
"Saya harap penyokong akan terus bersama FAS. Kami sedaya upaya akan cuba mencari penaja baru.
"Usah risau, kami akan melakukan yang terbaik dalam memastikan pasukan Selangor tidak menghadapi masalah."
#Amirudin Shari #Azmin Ali #FAS #Persatuan Bola Sepak Selangor
;