FAS berhasrat majukan bola sepak wanita menerusi WSL

Bernama
November 20, 2021 06:39 MYT
FAS turut menyasarkan peningkatan berganda kepada 20 pasukan yang akan bertanding dalam dua peringkat menjelang 2023. - Foto Facebook/Football Association of Malaysia
PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) telah melancarkan Liga Super Wanita (WSL) dengan harapan membangunkan dan melatih lebih ramai pemain dan pegawai bola sepak wanita di negara ini.
Setiausaha Agung FAS Izrin Nabil Ismail berkata sebanyak 10 pasukan akan bertanding dalam musim pertama pertandingan liga buat wanita yang julung kali diadakan pada peringkat negeri, bermula 29 Nov ini hingga 19 Jan tahun depan, di Radia Arena, Bukit Jelutong.
Katanya, FAS turut menyasarkan peningkatan berganda kepada 20 pasukan yang akan bertanding dalam dua peringkat menjelang 2023.
"Untuk tahun ini sahaja, pelbagai pihak menunjukkan minat yang besar terhadap liga itu, termasuklah agensi kerajaan dan institusi pengajian tinggi, namun mereka tidak dapat bersiap sedia kerana kesuntukan masa, ditambah pula dengan cabaran pandemik COVID-19," katanya kepada pemberita selepas pelancaran dan pengundian WSL di sini, pada Sabtu.
"Saya berpendapat komponen paling penting untuk bola sepak ialah liga. Apabila kita ada liga, semua akan berjalan lancar. Harapnya dengan usaha kami, lebih ramai wanita dan kanak-kanak perempuan akan menyedari bahawa mereka mempunyai platform untuk bermain dan menggunakan peluang ini untuk pergi lebih jauh.
"Mungkin ramai pemain berbakat yang belum dikenali akan dapat dilihat dan diintai. Kita juga berharap untuk mencungkil lebih ramai wanita dalam ekosistem bola sepak seperti pengadil, pegawai dan pentadbir," katanya.
Menurut Izrin pemain musim ini secara purata berusia 24 tahun dan yang paling muda berusia 13 tahun, manakala paling senior berusia 34 tahun, sekali gus menyaksikan keseimbangan antara pemain muda dengan pemain berpengalaman, termasuk para pelajar sekolah sukan.
Terdahulu, Presiden FAS dan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah merasmikan WSL.
Sebelum ini, satu-satunya kejohanan bola sepak wanita di negara ini yang dibatalkan dua tahun berturut-turut ekoran pandemik COVID-19 ialah Piala Tun Sharifah Rodziah anjuran Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Undian pasukan bagi WSL adalah seperti berikut:
Kumpulan A: FC SWAT, UiTM FC, FIRST 11 FC, THE FOOTSOULS, RADIA LADIES FC
Kumpulan B: LEOPARD FC, MBSJ FC, SA UNITED FC, RHYM ROVERS, NSWFC
-- BERNAMA
#Persatuan Bola Sepak Selangor #bola sepak #FAS #WSL
;