Farah Ann mahu menyerlah dengan pendekatan baru
Astro Arena
Jun 27, 2015 17:01 MYT
Jun 27, 2015 17:01 MYT
ATLET gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi mengakui gementar menjelang pertandingan di Sukan Universiti Dunia yang bermula pada 3 Julai di Gwangju, Korea Selatan.
Penyertaan lebih ramai atlet dari pelbagai negara dianggap sebagai satu cabaran untuk memberikan persembahan yang lebih baik di Sukan SEA.
"Ini kali pertama saya bertanding dalam Sukan Universiade, saya rasa gementar dengan pengalaman di sana nanti kerana ia merupakan kejohanan yang besar dan bertaraf dunia.
"Jika di Sukan SEA hanya melibatkan atlet Asia Tenggara sahaja, tapi Universiade melibatkan lebih banyak lagi penyertaan negara bertanding.
"Dengan hampir 100 negara yang bertanding, di mana dalam gimnastik hampir 40 negara akan bertanding," jelasnya.
Farah juga turut berharap prestasinya sudah meningkat sejak Sukan SEA Singapura kerana telah berusaha keras memperbaiki persembahannya.
"Dengan pencapaian di Sukan SEA, adakah saya boleh buat yang lebih bagus di Universiade. Ianya boleh menjadi kayu pengukur bagaimana kedudukan saya dikalangan gimnas dunia. Jadi ini pendedahan yang baik.
"Selepas balik dari Sukan SEA, saya dah ubah aturan skil dengan jurulatih sebab kami nak perbaiki teknik skil dan kalau ada kesilapan kami terus diperbaiki dan tidak tunggu pada esok.
"Sekarang ini rutin saya dan boleh landing, jadi di sana nanti (Gwangju) saya harap boleh landing," katanya.