Farah Ann jalani proses pemulihan sehingga tahun hadapan
Bernama
Oktober 10, 2021 13:51 MYT
Oktober 10, 2021 13:51 MYT
KUALA LUMPUR: Atlet gimnastik kebangsaan Farah Ann Abdul Hadi berehat daripada menyertai mana-mana kejohanan gimnastik yang kompetetif buat masa ini bagi memfokuskan proses pemulihan dirinya.
Atlet berusia 27 tahun itu berkata, beliau merancang dan bersedia untuk pertandingannya yang akan datang dengan tidak terlalu menekan dirinya, bagi memastikan beliau dapat kembali pada 2022 dengan lebih baik lagi.
"Saya masih belum pulih sepenuhnya daripada Olimpik Tokyo yang amat sukar, dan saya merancang untuk bermula latihan dengan perlahan-lahan di Majlis Sukan Negara tahun hadapan," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Farah Ann, yang buat pertama kalinya membuat penampilan di Sukan Olimpik, gagal layak ke peringkat akhir acara all-round selepas menduduki tempat ke-68 daripada 85 peserta, dengan mengutip 48.565 mata keseluruhan pada acara berlangsung di Ariake Gymnastics Centre, Tokyo pada 25 Julai.
Beliau mengutip 11.600 mata dalam aparatus palang bertingkat, palang imbangan (11.566 mata), disiplin senam lantai (12.233 mata) dan melombol (13.166 mata).
Atlet kelahiran Selangor juga menyatakan keadaan pandemik yang berlarutan juga menjadi sebab untuk tidak menyertai mana-mana kejohanan sehingga akhir tahun ini.
Namun pemenang pingat emas Sukan SEA 2019 itu berkata beliau masih belum pasti mengenai kejohanan mana yang perlu sertai tahun hadapan.
"Saya tidak pasti sama ada saya akan bertanding di Sukan SEA atau tidak. Tetapi saya percaya Sukan Komanwell dan Sukan Asia yang berkemungkinan berlangsung pada akhir tahun," katanya.
Sukan SEA ke-31 dijadualkan berlangsung dari 21 Nov ke 2 Dis di Hanoi telah ditangguhkan ke tahun hadapan, berkemungkinan pada Mei, disebabkan pandemik COVID-19.
Sukan Komanwel 2022 di Birmingham, United Kingdom dijadualkan berlangsung dari 28 Julai hingga 8 Ogos manakala Sukan Asia Hangzhou, China dari 10 hingga 25 Sept.
-- BERNAMA