Fandi gembira Safee menemui sentuhan
Zulhelmi Zainal Azam
Januari 23, 2013 14:04 MYT
Januari 23, 2013 14:04 MYT
Ketua jurulatih Darul Takzim FC, Fandi Ahmad mengakui gembira dengan prestasi penyerangnya Safee Sali yang kembali menemui sentuhan jaringan.
Bagi Fandi, keupayaan Safee untuk menjaringkan gol ketika menentang PKNS Selangor semalam sebagai petanda positif kepada pemain itu dan juga pasukan.
"Saya gembira, Safee telah berkerja keras dalam dua dan tiga perlawanan sebelum ini. Dia cuba untuk menjaringkan gol, tapi hari ini kita nasihatkan dia untuk tidak terlalu ghairah. Jadi, saya yakin dia dapat lakukan dan diharap gol ini beri keyakinan kepadanya," kata Fandi.
Safee menjaringkan gol menerusi tandukan selepas menerima hantaran lintang bekas pemain Sepanyol, Daniel Guiza pada minit ke-31.
Ia gol sulung penyerang kebangsaan itu musim ini dan yang pertama selepas kembali beraksi dalam Liga Malaysia sejak 2010.
Ketika diminta mengulas mengenai persembahan keseluruhan skuad Harimau Selatan, Fandi berkata;
"Masih banyak perlu diperbaiki kerana pemain kebangsaan baru datang. Jadi mereka, belum serasi dengan cara permainan Johor tetapi ada peningkatan."
Dalam pada itu, pemain Darul Takzim terus tidak dibenarkan memberi sebarang kenyataan kepada pihak media selepas perlawanan.