FAM, Yakeb jalin kerjasama bantu bekas pemain kebangsaan
Bernama
September 14, 2023 06:45 MYT
September 14, 2023 06:45 MYT
KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) menjalinkan kerjasama untuk memastikan kebajikan bekas pemain bola sepak negara diambil perhatian sepenuhnya.
FAM, menerusi kenyataan pada Khamis memaklumkan, badan induk itu hari ini menerima kunjungan daripada Yakeb untuk membincangkan pelbagai bentuk bantuan atau sumbangan yang boleh disalurkan kepada bekas pemain negara.
Pengerusi Yakeb, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed memaklumkan, FAM merupakan persatuan sukan pertama yang menjemput Yakeb untuk menjalinkan kerjasama tersebut.
"Kami amat berbesar hati berkunjung ke Wisma FAM dan juga mengalu-alukan bekas pemain bola sepak yang pernah mewakili negara di Sukan SEA, Sukan Asia dan Sukan Olimpik mendaftar sebagai ahli Yakeb secara dalam talian di www.yakeb.org.my atau menghubungi kami di 03-20924841/4844," katanya menerusi kenyataan dikeluarkan FAM itu.
Beliau berkata, pada masa ini seramai 2,998 bekas atlet negara mendaftar sebagai ahli dengan 340 daripadanya merupakan bekas pemain bola sepak termasuk 43 bekas pemain wanita.
Noorul Ariffin berkata, yayasan itu menyasarkan sejumlah 500 hingga 600 bekas pemain bola sepak mendaftar sebagai ahli yayasan berkenaan.
Terdahulu, kunjungan Yakeb itu turut dihadiri Krishna Priya, balu kepada bekas ketua jurulatih kebangsaan, mendiang B. Satiananthan, yang meninggal dunia pada 18 Julai lepas.
Yakeb dan FAM masing-masing bersetuju untuk menyalurkan bantuan dan sumbangan kepada keluarga mendiang Satiananthan sebagai menghargai jasa dan pengorbanannya dalam arena bola sepak negara.
Setakat ini, 60 bekas pemain bola sepak menerima bantuan dan sumbangan menerusi Skim Bantuan Khas Yakeb.
Pada sesi kunjungan tersebut, FAM diwakili Setiausaha Agungnya, Datuk Noor Azman Rahman. - BERNAMA