FAM tidak harus terpengaruh dengan media

Fadzrie Hazis
April 26, 2013 17:06 MYT
Jawatankuasa Tatatertib FAM tidak seharusnya terpengaruh dengan laporan media, sehingga memanggil Ketua Jurulatih Kebangsaan, Datuk K Rajagobal mengadap untuk menjawab pertuduhan.
Itulah pandangan blogger dan penganalisis sukan tempatan, Rizal Hashim.
"Saya tidak mahu menyalahkan sesiapa,tetapi kadang-kala,laporan yang dikemukakan media itu mungkin perlu dipersoalkan.
"Apakah mereka mengikut etika atau mempunyai agenda sendiri. Sebenarnya, ini juga memberi pengajaran buat Rajagobal untuk hati-hati apabila membuat kenyataan," kata Rizal ketika dihubungai Astro Awani.
Pandangan Rizal, mungkina ada benarnya kerana jelas, beberapa media arus perdana yang sebelum ini, tampak seakan cuba memerangkap pengendali kebangsaan itu.
Bagi Rizal, jika FAM benar mahu meleraikan ikatan dengan Rajagobal, mungkin ia lebih wajar membenarkannya menamatkan tugasan dengan skaud negara di kelayakan Piala Asia.
"Ya saya percaya, FAM hanya perlu menunggu sehingga Disember ini apabila pasukan kebangsaan menamatkan kempen kelayakan Piala Asia.
"Dan selepas lima tahun, Dato Rajagobal sudah pun meninggalkan legasi yang cukup besar, mungkin kita boleh bergerak maju selangkah lagi dalam membuka era baru dalam kejurulatihan kebangsaan," kata Rizal.
Rajagobal sebelum ini didakwa, mengkritik dasar FAM, apabila memberikan pandangannya bahawa, kehadiran awang import membataskan kelibat penyerang tempatan dalam saingan Liga M.
#Artikel 88 #bola sepak #Fadzrie Hazis #Media #Rajagobal #rizal hashim
;