FAM tetap pendirian kekal puas hati dengan keadaan padang SNBJ
Bernama
Mac 10, 2024 15:15 MYT
Mac 10, 2024 15:15 MYT
PUTRAJAYA: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tetap dengan pendirian berpuas hati dengan keadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang akan digunakan menjelang perlawanan keempat Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/2027 Piala Asia menentang Oman pada 26 Mac ini.
Setiausaha Agung FAM Datuk Noor Azman Rahman berkata beliau memahami kegusaran diluahkan Ketua Jurulatih Harimau Malaya Kim Pan Gon baru-baru ini, namun perbincangan bersama pihak Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) menunjukkan terdapat waktu mencukupi bagi padang itu kembali seperti sedia kala.
"Dia (Pan Gon) risau dalam keadaan sekarang masa lawatan kami di SNJB namun komitmen diberikan oleh kontraktor dalam masa dua minggu insya-Allah, benda (padang) itu akan pulih lebih cantik balik dan boleh pakai.
"Kita lakukan lawatan sekali (7 Mac) dan berpuas hati seratus peratus. Masa lawatan itu diadakan Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin pun ada sekali (jadi) tiada masalah sebab masih ada waktu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Bola Sepak Wanita Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) ke-10 di Taman Ekuestrian Putrajaya pagi ini.
Pan Gon sebelum ini menyatakan kerisauan beliau dengan keadaan padang SNBJ selepas melakukan pemeriksaan bersama Presiden FAM Hamidin, Pengerusi PSM Datuk Hans Isaac dan kakitangan kejurulatihannya Khamis lepas.
Keadaan padang SNJB menjadi perdebatan hangat sebelum ini apabila stadium itu menjadi venue beberapa konsert.
Harimau Malaya memulakan latihan pusat di Wisma FAM Jumaat lepas sebagai persediaan menghadapi perlawanan ketiga Kumpulan D menentang pasukan ke-80 dunia Oman, di stadium Pusat Sukan Sultan Qaboos, Muscat pada 21 Mac, sebelum pulang untuk perlawanan timbal balik di Bukit Jalil, lima hari kemudian.
Selepas dua perlawanan tersebut, Malaysia yang berkedudukan ke-132 dunia akan bertemu Kyrgyzstan (6 Jun) di tempat lawan dan kembali ke Malaysia untuk bertemu Taiwan di Bukit Jalil pada 11 Jun.
Malaysia dilihat berpeluang cerah untuk layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia/Piala Asia buat julung kali apabila mendahului carta Kumpulan D dengan kelebihan tiga mata lebih daripada Oman.
Anak buah Pan Gon mencatatkan dua kemenangan menentang Kyrgyzstan (4-3) dan Taiwan (1-0) tahun lepas untuk mengungguli carta kumpulan, manakala Oman di tempat kedua berkongsi mata dengan Kyrgyzstan, manakala Taiwan berada di tempat terakhir tanpa sebarang mata.
-- BERNAMA
#Persatuan Bola Sepak Malaysia
#Stadium Nasional Bukit Jalil
#keadaan padang
#Malaysia melawan Oman
#kelayakan Piala Dunia
#Kim Pan Gon