FAM sokong permohonan penganjuran bola sepak sosial secara terkawal

Bernama
Julai 3, 2020 05:24 MYT
Stuart yakin KBS akan membuat yang terbaik untuk keluarga bola sepak. - Gambar fail
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyokong penuh permohonan pengusaha padang bola sepak komersial dan penganjur liga sosial supaya aktiviti bola sepak secara terkawal dibenarkan semula oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam tempoh terdekat.
Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, sesi libat urus antara wakil Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersama pemain dan penggiat industri bola sepak dan futsal di Menara KBS, Putrajaya pada Jumaat, memberi gambaran jelas mengenai situasi semasa yang dialami pengusaha padang bola sepak komersial dan pengendali liga sosial.
Sebelum ini, kesemua aktiviti bola sepak termasuk saingan Liga Malaysia (Liga-M), komersial dan amatur, terpaksa dihentikan selepas kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu bagi membendung penularan pandemik COVID-19.
"FAM yakin KBS akan membuat yang terbaik untuk keluarga bola sepak," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Terdahulu, beliau menghadiri sesi libat urus yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara, Datuk Hatipah Ibrahim bersama wakil dari MKN, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN).
Delegasi FAM turut diwakili Pengarah Teknikal Futsal, Chiew Chun Yong yang juga ketua jurulatih futsal kebangsaan dan Ketua Unit Akar Umbi, Samuel Siew.
-- BERNAMA
#amatur #bola sepak #bola sepak komersial #FAM #KBS #Kementerian Belia dan Sukan #Kementerian Kesihatan #kerajaan #keselamatan #kesihatan #liga sosial #pengusaha padang #Persatuan Bola Sepak Malaysia #stuart ramalingam #sukan
;