FAM perlu percepat musim 2021 MPFL - Casas
Bernama
Jun 7, 2020 17:23 MYT
Jun 7, 2020 17:23 MYT
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu mempercepatkan musim 2021 Liga Futsal Premier Malaysia (MPFL) selepas musim 2020 dibatalkan akibat pandemik COVID-19, kata ketua jurulatih Pahang Rangers FC, Gerard Casas.
Pengendali berusia 31 tahun dari Sepanyol itu walaupun kecewa dengan pembatalan pertandingan, bagaimanapun, menerima keputusan yang dibuat oleh badan induk kebangsaan itu dalam menjaga kesejahteraan jurulatih, pemain dan juga peminat.
"Ia sangat mengecewakan saya kerana saya telah menyiapkan skuad terbaik untuk musim ini tetapi pertandingan dibatalkan kerana wabak itu. Saya dapat melihat kegembiraan dalam kalangan pemain saya ketika pasukan mengalahkan Sarawak 9-1 pada perlawanan pembukaan.
"Walaupun begitu, berharap FAM dapat mempercepat musim 2021 ketika keadaan COVID-19 bertambah baik," katanya melalui hantaran terbaru di laman Facebook pasukan itu.
Casas yang kini kembali ke negaranya, memuji usaha yang dilakukan oleh kerajaan termasuk petugas barisan hadapan dalam memerangi ancaman COVID-19 di negara ini.
Baru-baru ini, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam mengumumkan pembatalan pertandingan Piala Belia, Piala Presiden dan MPFL, disebabkan bola sepak dan futsal adalah antara aktiviti yag dilarang Majlis Keselamatan Negara (MKN) kerana ia dikategorikan sebagai sukan melibatkan sentuhan.
-- BERNAMA