FAM nafi Kelantan FC dikenakan pemotongan mata
Bernama
Januari 14, 2021 04:49 MYT
Januari 14, 2021 04:49 MYT
KUALA LUMPUR: Pasukan Liga Premier Kelantan FC tidak akan dikenakan pemotongan tiga mata pada musim ini sekiranya Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) gagal melunaskan tunggakan gaji 11 bekas pemainnya, menurut Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Dalam kenyataan semalam, FAM menafikan Setiausaha Agungnya Stuart Ramalingam ada membuat kenyataan sedemikian ketika dihubungi wartawan.
"Malah apa yang boleh didengar dalam rakaman audio itu, Stuart telah mengelak untuk menjawab soalan berkenaan pemotongan mata itu supaya tidak mengeruhkan keadaan di antara KAFA dan Kelantan FC di peringkat domestik," menurut kenyataan itu.
Terdahulu, media melaporkan Kelantan FC bakal berdepan pemotongan tiga mata jika KAFA gagal melangsaikan tunggakan 11 bekas pemainnya yang keseluruhan berjumlah RM187,778.92.
Perkembangan itu menimbulkan rasa tidak puas hati pemilik The Red Warriors (TRW), Norizam Tukiman yang membuat kenyataan di laman rasmi Facebook miliknya mempertikaikan keputusan itu.
Pada masa sama, FAM turut meminta Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham tidak terburu-buru dalam mengeluarkan sebarang kenyataan di media sosial tanpa memeriksa ketetapan fakta dan cuba menyerang badan induk bola sepak negara itu dengan mengaitkan isu-isu berlainan.
"Perkara seperti ini boleh dielakkan daripada berlaku jika Norizam menghubungi terus Sekretariat Agung FAM untuk mendapatkan penjelasan atau pengesahan," kata FAM.
-- BERNAMA
#pemotongan mata
#potong mata
#tunggakan gaji
#bola sepak
#Kelantan
#Kelantan FC
#KAFA
#Norizam Tukiman
#stuart ramalingam
#FAM
#Persatuan Bola Sepak Kelantan
#Liga Premier
#bekas pemain
#media sosial