FAM minta penyokong Harimau Malaya jaga tingkah laku

Bernama
Disember 20, 2014 11:30 MYT
Presiden FAM Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berharap tidak berlaku sebarang kekecohan melibatkan penyokong Malaysia dan Thailand pada perlawanan itu yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini. - Foto Fail
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) meminta penyokong Harimau Malaya menjaga tingkah laku dan tidak mencemarkan nama baik negara di mata dunia pada perlawanan akhir kedua Piala AFF Suzuki 2014 antara Malaysia dan Thailand, malam ini.
Presiden FAM Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berharap tidak berlaku sebarang kekecohan melibatkan penyokong Malaysia dan Thailand pada perlawanan itu yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini.
"Kita sedia maklum, ini satu perlawanan berprofil tinggi. Seluruh warga Asia akan menyaksikan final ini. Jadi saya harap rakyat Malaysia dapat menjaga nilai-nilai baik ... saya tidak mahu kerana nila setitik rosak susu sebelanga.
"Bagaimanapun, saya hargai sokongan penyokong Harimau Malaya yang sentiasa memberi sokongan padu. Semangat ini harus dipupuk dalam diri setiap rakyat Malaysia," kata Tengku Abdullah selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Khas FAM kali kedua penggal 2014-2018, di sini pada Jumaat.
Tengku Abdullah berkata polis telah membuat segala persiapan keselamatan yang diperlukan bagi memastikan insiden pergaduhan seperti yang berlaku pada perlawanan separuh akhir pertama antara Malaysia dan Vietnam tidak berulang.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Tiket dan Pintu FAM Datuk S. Sivasundram berkata kesemua 90,000 tiket telah habis dijual.
"... disebabkan semua sudah habis maka kaunter akan ditutup sepenuhnya. Tiada tiket tambahan akan dikeluarkan oleh FAM," katanya.
Sivasundram berkata 35,000 keping tiket mula dijual secara dalam talian bermula pada Ahad lepas, manakala 55,000 keping dijual di kaunter bermula, semalam.
FAM menyediakan 2,500 keping tiket untuk pasukan Thailand, namun hanya 260 tiket terjual.
Pada perlawanan akhir pertama Rabu lepas, Malaysia tewas 0-2 kepada Thailand di Stadium Rajamangala, Bangkok.
#FAM #harimau Malaya #Pengerusi Jawatankuasa Tiket dan Pintu FAM Datuk S. Sivasundram #Persatuan Bola Sepak Malaysia #Presiden FAM #Stadium Nasional Bukit Jalil #Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah
;