FAM minta media hati-hati buat laporan mengenai TMJ
Bernama
April 8, 2013 07:33 MYT
April 8, 2013 07:33 MYT
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) meminta media tempatan supaya berhati-hati ketika membuat laporan berkenaan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang merupakan Tunku Mahkota Johor.
FAM dalam satu kenyataan berkata segala laporan mengenai baginda perlu dirujuk terlebih dahulu kepada Istana Johor selepas menerima arahan sedemikian, Isnin.
Sejak kebelakangan ini FAM mendapati banyak laporan media tempatan yang membawa andaian tidak berasas mengenai isu tertentu dalam bola sepak tempatan.
"Malahan didapati segelintir akhbar yang sama sering membuat laporan yang berbentuk spekulatif ini. Laporan sedemikian menimbulkan suasana yang tidak sihat dalam bola sepak negara," menurut kenyataan itu.
Tunku Ismail sebelum ini digantung enam bulan dan didenda sebanyak RM18,000 oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM kerana mengkritik mutu pengadilan Liga Malaysia dan hukuman itu berkuat kuasa sejak 8 Mac lepas.
Baginda juga dipalit kontroversi terbaru selepas didakwa duduk di bangku simpanan pemain sewaktu aksi Liga Super antara Johor Darul Takzim FC (JDT FC) menentang Terengganu di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 30 Mac lepas ketika hukuman berkenaan masih berkuat kuasa.
Pada Rabu lepas Tunku Ismail memutuskan untuk meletak jawatan selaku Presiden PBNJ dan keputusan itu diperkenan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Baginda dikatakan berbuat demikian kerana mahu menumpukan tugas selaku Tunku Mahkota Johor dan tidak mahu terikat dengan undang-undang FAM.
Tunku Ismail mengumumkan bahawa baginda akan menjadi penaung PBNJ manakala jawatan Presiden PBNJ akan disandang Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Datuk Obet Tawil.