FAM, MFL, PSM bincang kalendar penggunaan Stadium Nasional Bukit Jalil

Bernama
September 25, 2023 19:02 MYT
Jadual penggunaan Stadium Nasional Bukit Jalil untuk baki tahun 2023 dan 2024 telah disusun menerusi mesyuarat antara FAM, MFL dan PSM hari ini. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Jadual penggunaan Stadium Nasional Bukit Jalil untuk baki tahun 2023 dan 2024 telah disusun menerusi mesyuarat antara Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) hari ini.
FAM menerusi satu kenyataan hari ini memaklumkan perbincangan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil itu memfokuskan kepada persediaan PSM menjelang pertandingan Pestabola Merdeka 2023 yang akan berlangsung di sini bermula dari 13 hingga 17 Okt ini.
FAM memaklumkan perlawanan pertama Kelayakan Piala Dunia 2026, Piala Asia 2027 dan aksi skuad Harimau Malaya menentang Kyrgyzstan pada 16 Nov turut dibincangkan FAM, MFL dan PSM.
"Selain itu, bagi saingan liga domestik, final Piala Malaysia 2023 dijadual berlangsung di Stadium Nasional pada 9 Dis," kata FAM.
Pada mesyuarat berkenaan, FAM telah diwakili oleh Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin manakala MFL diwakili Presidennya, Datuk Ab Ghani Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Stuart Ramalingam dan PSM diwakili Pengerusinya, Datuk Hans Isaac.
Hamidin berkata beliau berpuas hati dengan persiapan venue dilakukan PSM, termasuk berkaitan tempat duduk penonton serta padang selain berharap agar perlawanan-perlawanan itu dapat berlangsung dengan lancar dan sempurna.
-- BERNAMA
#Stadium Nasional Bukit Jalil #FAM #MFL #PSM
;