FAM memeterai MoU dengan J.League

Bernama
Jun 18, 2015 16:00 MYT
FAM dan J.League akan bekerjasama dalam program pertukaran, pemerhatian dan latihan untuk jurulatih, pengadil, pemain serta aspek fizikal, latihan, penjagaan kesihatan, pengurusan kejohanan, akademi dan pemasaran. - Gambar fail
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Khamis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Liga Bola Sepak Profesional Jepun (J.League) untuk menjalinkan kerjasama bagi meningkatkan kualiti bola sepak di negara ini.
Timbalan Presiden FAM Datuk Abdul Mokhtar Ahmad berkata, Jepun menjadi model kepada banyak negara Asia atas dominasi mereka dalam bola sepak, dan Malaysia mengambil langkah yang sama agar dapat kembali menjadi gergasi dalam sukan itu.
"Kami mahu mencontohi kejayaan mereka...lebih kepada mengetahui bagaimana Jepun bergerak dan berusaha dalam membangunkan pemain mereka.
"Mereka menggalakkan pemain mereka untuk bermain di luar negara dan kini, 80 pemain Jepun beraksi di Thailand, dan kira-kira 300 pemain beraksi di seluruh negara. Bagaimana dengan Malaysia?
"Maka, dengan MoU ini, kita mahu belajar daripada mereka, bagaimana mereka bermula," katanya kepada pemberita selepas majlis MoU antara FAM dan J.League di Wisma FAM di sini.
Kerjasama itu termasuk pertukaran maklumat penting dalam meningkatkan tahap liga bola sepak di kedua-dua negara, berkongsi pengetahuan dan menganjurkan seminar mengenai liga profesional dan pengurusan kelab terutama dalam bidang pemasaran.
Selain itu, menerusi MoU itu, FAM dan J.League akan bekerjasama dalam program pertukaran, pemerhatian dan latihan untuk jurulatih, pengadil, pemain serta aspek fizikal, latihan, penjagaan kesihatan, pengurusan kejohanan, akademi dan pemasaran.
Kerjasama itu juga akan membabitkan penganjuran perlawanan persahabatan antara kelab Liga Super dan Liga Perdana Malaysia dengan J.League serta mengadakan kem latihan bersama untuk remaja kedua-dua negara.
Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA) Mitsuru Murai berkata sejarah yang wujud antara kedua-dua negara, mendorongnya menandatangani MoU itu bagi membantu Malaysia untuk bangkit kembali dalam arena bola sepak.
Murai yang juga Pengerusi J.League, memberi jaminan bahawa mereka akan memberi sokongan penuh dalam meningkatkan bola sepak Malaysia pada masa hadapan.
"Sejarah bola sepak antara Jepun dan Malaysia membuat saya teringat dua perkara, Piala Merdeka dan Johor Baharu. Piala Merdeka adalah pertandingan yang sengit dan kami berterima kasih kerana memberi peluang kepada kami untuk bersaing pada kejohanan berprestij itu.
"Johor Baharu juga merupakan tempat yang mana kami mendapat tiket ke Piala Dunia buat pertama kali," kata Mitsuru.
#FAM #J.League