FAM lulus proses pengambilan pemain naturalisasi
Bernama
Mac 30, 2019 17:49 MYT
Mac 30, 2019 17:49 MYT
Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Sabtu meluluskan mekanisme proses pengambilan pemain naturalisasi untuk mewakili skuad kebangsaan, Harimau Malaya, menerusi tiga peringkat.
FAM dalam satu kenyataan menyatakan bahawa tiga peringkat itu meliputi pengambilan pemain jangka pendek, jangka pertengahan dan jangka panjang.
"Bagi peringkat jangka pendek, ia membabitkan pemain berdarah campuran sama ada (pemain) mereka sendiri dilahirkan di Malaysia, ibu atau bapanya dilahirkan di Malaysia atau datuk atau neneknya dilahirkan di Malaysia," katanya.
"Proses jangka pertengahan melibatkan pemain asing baharu yang berusia 18 tahun ke atas dan telah bermain dalam Liga Malaysia untuk satu atau dua tahun serta menyakinkan pemain untuk menetap dengan minimum lima tahun," menurut kenyataan itu.
Bagi peringkat jangka panjang pula membabitkan pemain asing berusia bawah 18 tahun termasuk mengambil kira jumlah pemain, lingkungan usia pemain, negara asal pemain dan lain-lain perkara berkaitan yang akan dicadangkan oleh panel teknikal yang akan ditubuhkan.
Keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM kali ke-7 bagi penggal 2017-2021, di sini hari ini yang dipengerusikan oleh Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.
Menurut kenyataan itu, panel teknikal yang terdiri daripada Pengarah Teknikal FAM, Peter de Roo, barisan jurulatih kebangsaan dan individu lain yang berkaitan itu akan memberi cadangan dan nasihat kepada FAM dari sudut teknikal.
"Segala butiran lanjut dan perkembangan terbaharu mengenai proses naturalisasi ini akan dimaklumkan dari masa ke semasa untuk makluman seluruh pemegang taruh bola sepak negara," katanya.
-- BERNAMA
#bola sepak
#FAM
#harimau Malaya
#pasukan malaysia
#pemain naturalisasi
#Peraturan
#skuad kebangsaan