FAM hanya mahu yang terbaik untuk final Piala FA - Md Dali

Bernama
Julai 8, 2019 23:39 MYT
MD DALI: Sebagai pengadil profesional, tidak kira dari negara mana pun, mereka ini profesional dan menjalankan tugas berdasarkan perlawanan itu sahaja. - Gambar fail
Tidak kira pengadil dari negara manapun, yang pasti Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mahu mutu pengadilan pada aksi final Piala FA 2019 membabitkan dua gergasi utara itu diadili dengan profesional.
Perlawanan akhir Piala FA 2019 menyaksikan juara empat kali, Kedah bakal berdepan Perak di Stadium Nasional Bukit Jalil, 27 Julai ini.
FAM telah mengambil langkah awal dengan menghantar surat permohonan kepada tiga negara - Jepun, Australia dan Thailand - pada Mei lepas, untuk melihat potensi dan tahap ketersediaan pengadil di ketiga-tiga negara berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Md Dali Wahid berkata badan induk sukan bola sepak negara itu tidak menetapkan pengadil dari negara tertentu, namun mahu barisan pengadil yang dipilih memenuhi segala kriteria ditetapkan.
Jika dilihat dari sudut budaya bola sepak Malaysia, Thailand mempunyai ciri-ciri peminat dan budaya bola sepak yang hampir sama tetapi ia bukan jaminan kepada mutu pengadilan berkualiti dalam satu perlawanan berintensiti tinggi.
"Kita (FAM) tidak mempunyai pilihan favourite terhadap mana-mana negara... memanglah kalau lihat antara tiga negara Thailand ada kelebihan sikit sebab negara ASEAN.
"Budaya di sana tidak jauh beza dengan budaya di Malaysia. Tetapi sebagai pengadil profesional, tidak kira dari negara mana pun mereka ini profesional dan menjalankan tugas berdasarkan perlawanan itu sahaja," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Rabu lepas, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam memaklumkan FAM sudah menghantar surat permohonan kepada tiga negara itu untuk melihat potensi dan tahap ketersediaan pengadil di ketiga-tiga negara berkenaan.
Mengulas lanjut, Md Dali berkata, final Piala FA 2019 hampir pasti akan dikendalikan pengadil dari luar dan pengesahan awal daripada tiga negara itu dijangka akan diketahui dalam tempoh terdekat.
"Kita telah hantar permohonan lebih awal dan kita akan dapat pengesahan dalam minggu ini. Saya yakin kita akan dapat lihat pengadil luar mengendalikan aksi final itu nanti," katanya.
-- BERNAMA
#Australia #bola sepak #Bukit Jalil #FAM #Jepun #Kedah #Md Dali Wahid #pengadil #pengadil profesional #Perak #Persatuan Bola Sepak Malaysia #Piala FA #pilihan favourite #surat permohonan #Thailand
;