FAM buat keputusan tepat - Kevin

Astro Arena
Julai 22, 2019 17:56 MYT
KEVIN: Sehingga PMOM berjalan, saya tidak boleh komen mengenai pelantikan seseorang pengadil itu kerana saya sendiri bukan penilai pengadil. - Gambar fail
LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) tiada keraguan dengan pemilihan pengadil dari Jepun untuk aksi final Piala FA apabila Ketua Pegawai Eksekutif, Kevin Ramalingam, berpandangan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membuat keputusan tepat.
FAM sebelum ini mengesahkan pengadil dan pegawai perlawanan dari Jepun dipilih untuk mengadili perlawanan akhir Piala FA antara Perak dan Kedah di Stadium Nasional Bukit Jalil, 27 Julai ini.
Meskipun menimbulkan perdebatan sesetengah pihak, badan induk itu tetap dengan pendirian mereka selaras dengan memorandum persefahaman (MoU) dengan Persatuan Bolasepak Jepun (JFA).
Usaha FAM turut disambut baik MFL selaku badan pentadbir Liga Malaysia tatkala Kevin optimis terhadap kelayakan pengadil terbabit untuk mengadili perlawanan penting itu nanti.
"Untuk bercakap soal kelayakan seseorang pengadil itu bukan tugas MFL dan sehingga PMOM (Pegawai Perlawanan Profesional Malaysia) berjalan saya tidak boleh komen mengenai pelantikan seseorang pengadil itu kerana saya sendiri bukan penilai pengadil.
“Bagi saya jika mereka (pengadil Jepun) sudah diberi mandat untuk adili final, maka kelayakan mereka sudah tentu ada pada satu tahap yang baik. JFA sudah tentu tidak akan menghantar pegawai perlawanan yang tidak akan membawa nama baik Jepun ke sini. Saya pasti semua akan berjalan lancar," kata Kevin.
Sementara itu, Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Tajul Hasnan Omar, yang turut hadir pada mesyuarat berkenaan mengakui pihaknya mengalu-alukan kehadiran pengadil dari Jepun kali ini.
“Perak tiada masalah siapa juga pengadil kerana FAM lebih arif dalam pemilihan pengadil, kita selaku pasukan akur asalkan perlawanan berjalan dengan baik jadi tidak perlu kita pertikaikan,” katanya.
Turut senada adalah Setiausaha Eksekutif Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Shahrul Samsudin, yang percaya pendekatan FAM dan MFL itu seharusnya dipandang daripada sudut positif.
“Kami menyambut positif dengan lantikan pengadil berkecuali tetapi tidak menidakkan kemampuan pengadil tempatan. Mungkin aksi penting ini langkah terbaiknya adalah menggunakan khidmat pengadil asing,” jelasnya.
#FAM #Jepun #Kedah #kelayakan #kevin ramalingam #MFL #pegawai perlawanan #pengadil #pengadil asing #Perak #perdebatan #Persatuan Bolasepak Malaysia #Piala FA #Shahrul Samsudin #Stadium Nasional Bukit Jalil #Tajul Hasnan Omar
;