FAM bidas dakwaan kononnya lambat bertindak
Bernama
Julai 28, 2023 18:15 MYT
Julai 28, 2023 18:15 MYT
KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membidas dakwaan kononnya badan induk itu lambat bertindak berhubung insiden penyokong Kuala Lumpur City FC (KL City) dipukul pada final Piala FA 2023 di Johor, Sabtu lepas.
Timbalan Presidennya, Datuk Mohd Yusoff Mahadi, berkata FAM bukan mengambil sikap berdiam diri ataupun sengaja melengahkan sebarang tindakan berhubung insiden itu.
Beliau berkata FAM tidak boleh mengganggu siasatan polis selepas laporan dibuat mangsa sehari selepas perlawanan.
"Bagaimanapun, FAM sentiasa bersedia dan terbuka untuk memberi kerjasama kepada pihak polis jika diminta berbuat demikian bagi membantu siasatan kes ini.
"FAM sememangnya menolak keras segala bentuk salah laku berkaitan dengan hal-hal keselamatan, kekerasan atau keganasan dalam bola sepak, tidak kira sama ada ia berlaku dalam padang atau di luar padang yang membabitkan penyokong atau penonton," katanya, dalam kenyataan FAM, hari ini.
Mohd Yusoff berkata FAM tetap memandang serius dengan apa yang berlaku dan akan segera melakukan tindakan proaktif bersama pentadbir Liga Malaysia, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dalam memastikan kejadian sama tidak berulang pada perlawanan-perlawanan lain yang akan datang.
Sebelum ini, pemerhati sukan, Sadek Mustaffa, dan beberapa pihak lain mendakwa FAM lambat dalam memberi respons atau membuat tindakan berhubung insiden penyokong dipukul pada final Piala FA antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan KL City di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
Pada perlawanan itu, penyandang juara, JDT berjaya mempertahankan kejuaraan Piala FA setelah menewaskan KL City 2-0.
-- BERNAMA