FAM anjak tarikh sepak mula tiga pertandingan

Bernama
Jun 28, 2021 00:03 MYT
FAM akan memperkenalkan beberapa aktiviti atau bengkel secara dalam talian yang berkaitan pasukan terbabit dalam masa terdekat. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan penganjuran Piala Presiden, Piala Belia dan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) musim ini terpaksa ditangguhkan sehingga September.
Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam berkata ini berikutan pelanjutan fasa satu Kawalan Pergerakan di bawah Pelan Pemulihan Negara.
Beliau berkata kesemua pertandingan itu dijangka dapat dilangsungkan seawal September dengan pasukan dibenar menjalani latihan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) 30 hari sebelum kejohanan bermula.
"Bagaimanapun, aktiviti dan maklumat di atas adalah perancangan FAM buat masa ini dan ia tertakluk kepada perubahan dari semasa ke semasa. Perkara-perkara lain yang berkaitan khususnya format, jadual, peraturan dan juga tarikh sebenar aktiviti pertandingan akan turut dikongsi dengan semua pihak," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Stuart berkata FAM juga sedang giat berusaha dan berkomunikasi dengan kesemua pihak berkaitan bagi mendapatkan kelulusan untuk membolehkan semua pertandingan itu dijalankan secepat mungkin.
Sementara itu sebagai usaha untuk mengekalkan kesinambungan menjelang sepak mula kesemua pertandingan berkenaan, FAM akan memperkenalkan beberapa aktiviti atau bengkel secara dalam talian yang berkaitan pasukan terbabit dalam masa terdekat.
Sebelum ini, saingan Piala Belia dan Piala Presiden masing-masing dijadual bermula pada 2 dan 3 Jun lepas manakala saingan MPFL sepatutnya bermula seawal 12 Jun bagi kategori lelaki, dan kategori wanita pada 12 Ogos.
-- BERNAMA
#Persatuan Bola Sepak Malaysia #FAM #Piala Presiden #Piala Belia #Liga Premier Futsal Malaysia #mpfl #SOP #KBS #MKN
;