FAM akan bantu, bimbing SAFA
Astro Arena
April 24, 2019 08:00 MYT
April 24, 2019 08:00 MYT
PERSATUAN Bola Sepak Sabah (SAFA) perlu melengkapkan permohonan seterusnya mendapatkan lesen kelab sekiranya pasukan utama negeri itu ingin memasang impian beraksi dalam Liga Super, musim depan.
Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, berkata pihak FAM bagaimanapun akan membantu serta membimbing SAFA sehingga mereka layak memperoleh lesen berkenaan.
"Pelesenan kelab ini bukan saja penting sekiranya Sabah layak beraksi dalam Liga Super tetapi perkara itu juga adalah mandatori bagi pasukan-pasukan yang akan beraksi dalam Liga Perdana mulai musim depan.
"Kalau ada rezeki, mungkin boleh Sabah naik ke Liga Super, saya tengok dengan keupayaan pada tahun ini dengan perlawanan ada lagi 10 atau 11, Sabah perlu bersedia untuk melengkapkan lesen kelab Liga Super.
"Bagaimanapun, untuk Liga Perdana pula, lesen kelab adalah mandatori, jadi ini semua mustahak kerana saya tidak mahu terjadi pada mana-mana kelab sebelum ini yang layak tetapi tidak dapat memasuki Liga Super atas dasar tidak menepati hak pelesenan.
"Saya sudah janji dengan SAFA dengan komitmen tinggi, Insya-Allah Sabah akan dapat lesen kelab. Hanya doakan Sabah berjaya naik ke Liga Super," katanya dalam sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin SAFA di Kota Kinabalu.
Sementara itu, Timbalan Presiden 2 SAFA, Datuk Rahman Zakaria, berkata SAFA kini dalam proses bagi melengkapkan permohonan mereka dan berharap dengan bantuan serta bimbingan FAM, mereka akan berjaya mendapatkan lesen kelab tahun ini.
"Ia (permohonan lesen kelab) dalam proses, kami akan maklumkan perkembangannya nanti, namun saya percaya dengan bantuan serta bimbingan FAM, kami akan sampai ke arah itu nanti," katanya.
Terdahulu, Hamidin berkata tujuan beliau bersama ahli-ahli exco FAM berkunjung ke Sabah adalah bagi memberi penerangan kepada SAFA yang juga ahli gabungan persatuan itu berhubung misi dan visi mereka supaya FAM dan SAFA seiring.
"Kami juga memberi penerangan dan gambaran jelas mengenai program F:30 yang telah kami lancarkan pada Oktober lalu bersama dengan presiden FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa).
"Selain itu, kami juga memberi penerangan mengenai program inisiatif FAM, iaitu Projek Pemerkasaan Ahli Gabungan (ACE) di mana SAFA boleh memohon untik menguatkan struktur bola sepak mereka daripada segi teknikal, perbelanjaan, pamasaran, media, perundangan dan lain-lain lagi, termasuk pelesenan kelab," katanya.