Falcao terlalu mahal untuk JDT

Sinar Harian
Julai 21, 2023 10:30 MYT
Tunku Ismail (kanan) mendedahkan harga Falcao yang terlampau tinggi menjadi sebab JDT menarik diri daripada menandatangani pemain itu. - Foto Sinar Harian
PEMILIK Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan wujud perbincangan untuk membawa Radamel Falcao ke JDT.
Bagaimanapun, Tunku Ismail berkata, hasrat untuk menandatangani pemain kelahiran Colombia itu tidak menjadi kenyataan kerana harganya yang terlalu mahal.
"Kami tidak mampu dengan harga yang beliau inginkan kerana harga itu terlampau mahal. Kami ingin menggunakan bajet yang ada untuk beli dua tiga pemain yang lain untuk pertingkatkan pasukan.
"Jadi dalam 'strategy wise', untuk 'commercial wise' adalah bagus. Sudah tentu beliau adalah pemain yang 'superstar', tapi kita kena ada penilaian realistik dalam kewangan.
"Kerana itulah beliau sudah datang dan berbincang, tetapi kami tidak teruskan kerana tidak mampu untuk mendapatkan pemain tersebut," katanya dalam satu video di laman Facebook Johor Southern Tigers.
Sebelum ini, spekulasi bertiup kencang kemungkinan Falcao akan menyertai JDT selepas dia dilaporkan melawat fasiliti JDT pada bulan lepas selain sering berbalas hantaran dengan Tunku Ismail di laman sosial sejak awal tahun ini.
Dalam pada itu, Tunku Ismail juga mendedahkan pernah melakukan perbincangan dengan pemain ternama dunia lain seperti Gerard Pique dan Lucas Podolski.
"Memang ramai pemain antarabangsa yang datang berjumpa dengan saya seperti contoh Gerard Pique dan Lukas Podolski pun pernah datang.
"Ramai pemain yang datang jumpa saya untuk ada perhubungan dengan saya dalam industri bola sepak dan juga peluang untuk bekerjasama dalam perniagaan untuk masa akan datang," katanya. - Sinar Harian
#JDT #Radamel Falcao #Tunku Ismail Sultan Ibrahim #Falcao terlalu mahal
;