Faktor usia tidak halang Sieh terus memimpin
Bernama
Jun 22, 2013 07:15 MYT
Jun 22, 2013 07:15 MYT
Faktor usia bukan penghalang kepada Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Sieh Kok Chi untuk terus menabur bakti demi kepentingan pembangunan sukan di negara ini.
"Saya akan terus memimpin...saya tidak ada apa-apa agenda terselindung atau agenda peribadi untuk terus memegang jawatan ini. Saya akui, saya sudah tua tetapi saya masih mampu memimpin. Kalau saya rasa sudah tidak mampu lagi, bila-bila masa sahaja saya akan lepaskan jawatan saya," katanya ketika ditemui pemberita selepas Perhimpunan Agung Tahunan ke-32 di Kompleks Sukan Tertutup MOM, di sini hari ini.
Sieh, 75, berjaya mempertahankan jawatannya yang sebelum ini dikenali sebagai Setiausaha Kehormat, sejak mengambil alih jawatan itu daripada mendiang Thong Poh Nyen pada 28 Nov 1992.
Pada pemilihan MOM yang berlangsung di Kompleks Sukan Tertutup MOM di sini hari ini, Sieh mengalahkan pencabar yang juga Timbalannya, T. Kumar apabila memperoleh 62 undi, manakala Kumar, 44, mendapat 36 undi.
Dalam pada menerima ucapan tahniah daripada ahli gabungan MOM yang hadir, Sieh turut melahirkan rasa terkilan kerana ada individu yang cuba 'menikam dari belakang' untuk memperolehi jawatan yang diinginkan.
"Untuk pemilihan ini, calon banyak berkempen dan memberikan maklumat yang tidak tepat. Saya merasa kecewa dengan perkara ini...pemilihan kali ini banyak main politik. Mereka tidak memberikan bukti sahih (di atas keterangan) semasa berhujah, ditambah pula orang itu tiada memegang apa-apa jawatan dalam persatuan sukan yang diwakilinya.
"Saya harap selepas ini tidak wujud lagi pekara seperti itu. Saya mengharapkan semua pihak akan bekerjasama untuk menangani apa-apa masalah yang timbul dan bukannya," katanya.
Sieh mencadangkan pada masa akan datang hanya pemimpin yang berwibawa dan berpengalaman luas dalam persatuan sukan kebangsaan dan menjadi anggota gabungan MOM sahaja layak dicalonkan.
Sementara itu Kumar berkata meskipun tewas, beliau berpuas hati dengan keputusan perwakilan dan menganggap MOM akan berwajah baharu dengan gabungan beberapa muka baharu dalam kepimpinan tertinggi MOM.
"Saya percaya dengan adanya muka baru yang diterima masuk, MOM akan berwajah baru, jadi kita tengoklah (MOM) dalam dua tahun nanti," katanya.
Sementara itu Timbalan Presiden MOM yang baharu, Tan Sri Mohamad Noor Abdul Rahim berkata beliau berpuas hati dengan komponen baharu dan lama dalam MOM bagi penggal kali ini dan beliau berkata akan lebih bersikap terbuka bagi membantu meningkatkan prestasi sukan tempatan.
"Terima kasih kepada perwakilan yang memberikan keyakinan kepada saya untuk jawatan Timbalan Presiden. Saya seorang yang sangat terbuka dengan mendengar dan menerima apa jua pandangan dan kritikan," katanya.