Faktor keletihan perlahankan rentak permainan TFC

Bernama
Januari 23, 2025 11:15 MYT
Pemain TFC Ismaheel Akinade ketika beraksi dalam perlawanan menentang PSM Makassar di Stadium Sultan Mizam Zainal Abidin. - Foto BERNAMA
KUALA NERUS: Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC) Badrul Afzan Razali mengakui faktor keletihan menyebabkan pasukannya tampil dengan aksi perlahan ketika perlawanan Kumpulan A menentang kelab Indonesia, PSM Makassar FC pada saingan ASEAN Club Championship (ACC) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), malam tadi.
Bagaimanapun, pengendali berusia 48 tahun itu lega kerana pasukannya berjaya menewaskan skuad bimbingan Fernando Tavares dengan gol penalti 1-0, sekali gus mencerahkan peluang skuad Penyu ke separuh akhir kejohanan itu.
Beliau berkata pemainnya agak keletihan setelah berhempas pulas dalam perlawanan separuh akhir pertama menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) Jumaat lalu.
"Saya akui tempo permainan kami agak perlahan pada malam ini (malam tadi) terutama pada separuh masa pertama.
"Situasi itu agak mencemaskan kerana kami wajib meraih tiga mata untuk memastikan kelayakan ke separuh akhir. Namun, saya ingin mengucapkan tahniah kepada anak buah saya kerana telah berjuang habis-habisan sepanjang 90 minit perlawanan," katanya ketika ditemui selepas perlawanan.
Kemenangan tersebut melonjakkan skuad Penyu ke tangga kedua Kumpulan A dengan kutipan tujuh mata dalam empat perlawanan.
Sementara itu, jurulatih PSM Makassar Fernando Tavares, tetap berpuas hati dengan prestasi pasukannya, khususnya pemain muda yang berjaya memberikan saingan sengit kepada skuad Penyu.
Namun, kelemahan pemainnya dalam menyerap tekanan serta kesilapan dalam membuat keputusan menjadi punca mereka gagal meraih sebarang mata di tempat lawan.
TFC dan PSM Makassar FC kini berkongsi tujuh mata, tetapi skuad Penyu mempunyai kelebihan empat gol.
Bagaimanapun, takhta pendahulu Kumpulan A kini telah diambil alih oleh kelab BG Pathum United dari Thailand.
-- BERNAMA
#TFC #PSM Makassar FC #badrul afzan razali #faktor keletihan
;