Fakta menarik pembukaan Olimpik Paris, Celine Dion 'belayar' di Sungai Seine?

Hasimi Muhamad
Julai 26, 2024 08:30 MYT
Sukan Olimpik 2024 akan membuka tirai secara rasminya malam ini (7.30 malam waktu tempatan) hingga 11 Ogos depan - Foto Instagram The Olympics Games
KURANG beberapa jam lagi dari sekarang, temasya sukan berprestij Olimpik 2024 akan membuka tirai secara rasmi di kota fesyen dan kota cinta, Paris.
Walaupun terletak lebih 10,300 kilometer (km) dari Kuala Lumpur, momen dan debarannya sudah dirasai segenap lapisan masyarakat - khususnya menantikan kontinjen negara yang segak bergaya pada upacara pembukaan, yang dijadual pada jam 1.30 pagi (Ahad) waktu Malaysia.
Sungai Seine, yang panjangnya 777 km dan terletak di utara Perancis akan menjadi saksi pada majlis penuh gah dan ikonik itu dengan diserikan oleh pertunjukan-pertunjukan yang dijangka memukau.
Malaysia - sudah tentu mempunyai tugas besar untuk memburu pingat emas pertama, dengan harapannya disandarkan kepada 26 atlet yang mewakili negara pada temasya kali ini.
Sungai Seine sudah bersedia menerima kunjungan para atlet, dan ini antara fakta menarik!
1. Olimpik 2024 merupakan temasya ketiga dianjurkan di kota Paris selepas 1900 dan 1924. Edisi ke-33 ini membuka tirai secara rasminya malam ini (7.30 malam waktu tempatan) hingga 11 Ogos depan.
2. Upacara pembukaan tidak akan diadakan di stadium dan ini buat pertama kalinya dalam sejarah Sukan Musim Panas.
Lebih 200 delegasi negara dijadual belayar melintasi Sungai Seine melalui pusat bandar raya Paris dan melewati tempat-tempat seperti Katedral Notre-Dame, Louvre, dan Musée d'Orsay.
3. Paris dilapor membelanjakan sekurang-kurangnya AS$9.7 bilion (RM45.24 bilion) untuk Olimpik 2024.
The Associated Press melaporkan dianggarkan sebanyak AS$3.25 bilion daripadanya datang daripada pembayar cukai Perancis.
4. Sungai Seine yang dikritik mengenai kualiti kebersihannya juga merupakan venue bagi acara 10 km renang marathon lelaki dan wanita, selain acara 1,500 meter acara triathlon.
5. Sebanyak 95 peratus daripada 35 venue pertandingan merupakan struktur sedia ada atau sementara, dengan Pusat Akuatik di Saint-Denis merupakan satu-satunya tempat baharu yang dibina untuk temasya kali ini.
6. Penyanyi antarabangsa terkenal, Celine Dion bakal membuat persembahan istimewa di majlis pembukaan. Media antarabangsa melaporkan penyanyi lagu My Heart Will Go On itu menerima bayaran sekitar RM9.34 juta.
Turut dijangka membuat penampilan bersama Dion ialah Lady Gaga, di mana dua bintang tersohor ini dilaporkan akan menyanyikan lagu klasik oleh Edith Piaf bertajuk "La Vie en Rose".
7. Pertunjukan akan dihadiri lebih 100 ketua negara dan pemerintah dengan lebih 300,000 penonton akan menyaksikan dari tebing sungai. Terdapat kira-kira 80 skrin gergasi dipasang sepanjang perjalanan.
8. Bot membawa para atlet akan dilengkapi dengan kamera untuk membolehkan mereka yang menonton di televisyen atau telefon mereka melihat secara lebih dekat.
9. Sebanyak 329 acara daripada 32 jenis sukan dipertandingkan, dengan penyertaan kira-kira 10,500 atlet elit.
10. Bagi aspek keselamatan, sistem pengangkutan akan dihadkan di kawasan sekitar Sungai Seine dengan kereta hanya dibenarkan masuk dengan pengecualian khas dan stesen metro ditutup berhampiran sungai.
Kebanyakan jambatan juga akan ditutup manakala pesawat tidak dibenarkan membuat penerbangan melintasi Kota Paris kecuali ia sebahagian daripada upacara tersebut.
11. Jangan lupa saksikan kontinjen Malaysia! Atlet wanita akan memakai baju kurung songket dengan kelubung manakala atlet lelaki berbaju Melayu Teluk Belanga sentuhan pereka duo, Rizman Ruzaini.
Selamat maju jaya atau “bonne chance" semua!!!
#Acara pembukaan Sukan Olimpik 2024 #Paris Olympics 2024 #opening ceremony #Fakta menarik Olimpik Paris 2024 #Sukan Olimpik Paris 2024