Fajr Ibrahim kini pengarah teknikal TRW
Astro Arena
Mac 18, 2018 22:38 MYT
Mac 18, 2018 22:38 MYT
SELEPAS dibelasah PKNS FC 4-1 dan gagal mara ke suku akhir Piala FA, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengambil langkah berani melantik bekas jurulatih kebangsaan Syria, Fajr Ibrahim, sebagai pengarah teknikal The Red Warriors (TRW) yang baru, berkuat kuasa hari ini.
Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan, berkata langkah membawa jurulatih berpengalaman dari Syria itu bertujuan untuk mengemaskini semula perancangan Kelantan bagi mengharungi baki saingan Liga Malaysia, musim ini.
"Beliau (Fajr) akan membantu semua pasukan di bawah seliaan KAFA, iaitu Piala Belia, Piala Presiden dan Liga Super.
"Saya juga tidak menolak kemungkinan Fajr akan dilantik sebagai ketua jurulatih Kelantan yang baru nanti. Dia akan berhubung dengan Yusri (Che Lah) dan akan melakukan penilaian menyeluruh terhadap prestasi semua pemain," katanya.
Bibi Ramjani juga mengesahkan bekas ketua jurulatih kelab Al-Mina'a SC dalam Liga Iraq itu sudah mencapai persetujuan berkhidmat dengan KAFA sehingga akhir musim ini.
"Tidak ada sebarang petunjuk prestasi utama (KPI) yang diletakkan kepadanya kerana jawatan pengarah teknikal tidak ada sasaran tertentu. Tugas utamanya menilai prestasi pemain secara keseluruhan kerana KAFA sudah beberapa kali mengeluarkan surat amaran kepada pemain supaya meningkatkan prestasi permainan.
"Fajr akan tiba di Kota Bharu esok. Rasanya, tidak ada sebarang masalah untuk dia memulakan tugas kerana hampir sebulan memantau perkembangan skuad Liga Super, Piala Presiden dan Piala Belia Kelantan," katanya.
Untuk rekod, jawatan ketua jurulatih TRW masih kosong apabila KAFA bertindak merehatkan jurulatih kelahiran Thailand, Sathit Bensoh, yang gagal mencapai KPI dalam tiga perlawanan awal Liga Super.