Faiz tonton Ronaldo, Messi buat sepakan percuma melalui YouTube - Bapa

Bernama
Disember 3, 2016 07:32 MYT
FIFA menerusi laman web rasminya, www.fifa.com semalam, mengumumkan tiga gol terbaik ke peringkat akhir untuk Anugerah Puskas FIFA 2016, gol Faiz antara yang tersenarai. - Gambar fail
Mohd Faiz Subri, yang jaringannya disenarai pendek antara tiga gol terbaik untuk Anugerah Puskas FIFA 2016, sering menonton aksi pemain bola sepak terkemuka dunia seperti Christiano Ronaldo dan Lionel Messi membuat sepakan percuma, kata bapanya Subri Kadir.
Ketika ditemui Bernama di kediamannya di Kampung Kepok, Ayer Hitam dekat sini pada Sabtu, Subri, 64, berkata anaknya itu sering meluangkan masa menonton aksi dan perlawanan bola sepak melalui YouTube dan seolah-oleh 'belajar' perkara baharu melalui tontonannya di laman internet itu.
"Faiz dari kecil lagi minat bermain bola sepak dan melihat aksi pemain terkemuka dunia melalui YouTube, dan dari situ dia belajar dan berjaya menghasilkan jaringan yang membanggakan Malaysia," katanya.
FIFA menerusi laman web rasminya, www.fifa.com semalam, mengumumkan tiga gol terbaik ke peringkat akhir untuk Anugerah Puskas FIFA 2016.
Selain gol ajaib Mohd Faiz, turut tersenarai dalam senarai akhir untuk anugerah berkenaan ialah jaringan pemain kelab Corinthians, Brazil, Johnath Marlone Azevedo da Silva dan wakil tunggal wanita, Daniuska Rodriguez dari Venezuela.
Subri berkata bakat Mohd Faiz dalam bola sepak sudah dikesan seawal usia dua tahun lagi, apabila dia boleh menggelecek bola dengan begitu baik sekali di usia semuda itu.
Beliau berkata penyerang pasukan Pulau Pinang yang membuat sepakan lencongan menakjubkan itu, selalu menggelecek bola di hadapan datuknya yang percaya Mohd Faiz mampu menjadi pemain bola sepak terkenal suatu hari nanti.
"Mohd Faiz selalu menggelecek bola di hadapan ayah saya, Allahyarham Kadir Ahmad sejak dia kecil lagi. Bakat Mohd Faiz adalah satu anugerah daripada Allah yang jarang ada pada orang lain," katanya.
Beliau berkata walaupun Mohd Faiz tidak pernah mendapat latihan atau terlibat dengan mana-mana akademi bola sepak, anaknya itu kerap menyertai kejohanan di peringkat kampung dan daerah bagi mengasah bakat.
Selepas menamatkan pengajian di sekolah rendah, Mohd Faiz ke sekolah Menengah Kebangsaan Permatang Bonglai dekat sini, sehingga ke Tingkatan Tiga sebelum dilamar jurulatih bola sepak Sekolah Menengah Teknik Arau, Perlis.
"Ketika di Perlis, karier Mohd Faiz sebagai pemain bola sepak profesional bermula dengan membantu pasukannya memenangi perlawanan bola sepak di peringkat Sekolah Menengah, Sekolah Menengah Teknik dan Perlis," katanya.
Bagi ibu Mohd Faiz, Saadiah Ishak, 55, berkata anak kelima dari enam beradik itu adalah permata buat keluarga mereka kerana sering menjaringkan gol buat pasukan Pulau Pinang dan seorang pemain yang bagus.
"Saya tidak terkejut dengan pencalonan ini, tetapi terkejut dengan jaringan yang dilakukan sehingga menjadi bualan penduduk kampung dan saudara-mara," katanya.
Pada masa ini, Saadiah berkata Mohd Faiz belum memaklumkan bila akan berangkat ke Zurich, Switzerland dan berharap anaknya itu memenangi anugerah berkenaan, seterusnya mengharumkan nama Malaysia di pentas bola sepak dunia.
Peminat bola sepak tempatan masih berpeluang mengundi jaringan Mohd Faiz melalui laman web rasmi FIFA, www.fifa.com sebelum pemenang akan diumumkan pada Anugerah Bola Sepak FIFA di Zurich, pada 9 Jan depan. -- Bernama
#Anugerah Puskas FIFA 2016 #Christiano Ronaldo #Faiz Subri #gol ajaib #gol tercantik #Lionel Messi
;