Faiz Subri sudah banggakan negara dan negeri - Keluarga
Bernama
Januari 10, 2017 08:06 MYT
Januari 10, 2017 08:06 MYT
Kejayaan Mohd Faiz Subri merangkul Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2016 adalah satu kebanggan buat negeri kelahirannya, Kedah dan juga negara.
Bapanya, Subri Kader, 64, yang terharu dengan kejayaan anak kelima daripada enam beradik itu, disifatkan sangat bermakna buat keluarga yang sememangnya dinanti-nantikan sejak tercalon untuk anugerah berprestij itu.
"Saya terharu dan gembira dengan kejayaan Mohd Faiz ini dan ini adalah hadiah untuk negeri dan negara.
"Saya berharap kejayaan ini sebagai pembakar semangat untuk dia terus berjaya pada masa depan," katanya kepada pemberita sebaik sahaja Mohd Faiz diumumkan sebagai pemenang anugerah itu kira-kira pada pukul 2.40 pagi.
Subri berkata kejayaan itu juga sangat berbaloi apabila selama ini keluarga memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepadanya.
"Apa yang saya rasa ketika ini adalah mahu memeluknya apabila sampai ke tanah air nanti.
"Dia seorang anak yang baik dan sentiasa ingat keluarga dan ibu bapa," katanya.
Beliau melahirkan rasa terharunya apabila nama keluarga disebut Mohd Faiz ketika berucap sempena kemenangannya di Zurich, Switzerland.
"Ini mungkin kejayaannya disebabkan mendapat restu kami seluruh keluarga," katanya.
Menurutnya Mohd Faiz ada menghubungi keluarga pada sebelah petang tadi sebelum berlangsungnya majlis anugerah itu.
Mengenai majlis kesyukuran, Subri berkata mereka sekeluarga akan berbincang dengan Mohd Faiz terlebih dahulu sebelum membuat keputusan.
Sementara itu, ibu Mohd Faiz, Saadiah Ishak, 55, berkata mereka sekeluarga mengicapkan terima kasih kepada seluruh penduduk kampung, penyokong dan rakyat Malaysia di seluruh negara yang mendoakan kejayaan anaknya itu.
Katanya ia juga sebagai semangat buat Mohd Faiz untuk lebih berjaya termasuk mewakili negara pada masa akan datang.
Saadiah berkata kejayaan yang dikecapi anaknya itu sudah tentu merupakan saat yang terbaik buat hidup anaknya itu.
"Bukan senang nak dapat anugerah ini. Ini semua berkat doa keluarga dan seluruh rakyat Malaysia," katanya.
Mohd Faiz merupakan finalis dalam kategori gol tercantik bersama-sama dua pemain lain iaitu Jonath Marlone Azevedo da Silva dari Brazil dan pemain bola sepak wanita, Danisuka Rodriguez dari Venezuela.
Teknik 'knuckleball' yang dicalonkan pada anugerah tersebut dilakukan Mohd Faiz ketika menjaringkan gol melalui sepakan percuma ketika perlawanan Pulau Pinang menentang Pahang pada saingan Liga Super, 16 Feb tahun lepas.
Anugerah Puskas dinamakan sempena penyerang legenda Hungary, Ferenc Puskas yang menjulang tiga gelaran Eropah bersama pasukan gergasi Sepanyol, Real Madrid dari 1959 hingga 1966.
Sejak diperkenalkan pada 2009, anugerah yang bertujuan mengiktiraf gol tercantik di dunia sepanjang sesuatu tahun itu pernah dimenangi bintang bola sepak terkenal dunia antaranya Cristiano Ronaldo, Zlatan Ibrahimovic, Neymar dan James Rodriguez.
-- BERNAMA