Faisal seorang yang ‘kebal’ - Ayah

Dewi Nur Harasha Alias
Mei 8, 2024 06:00 MYT
Abdul Halim (tengah) disapa oleh jemaah yang menyertai Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat di Dewan Homestay Mengkuang Titi, malam tadi. - Astro AWANI
BUKIT MERTAJAM: Abdul Halim Saad seperti juga ayah lain, sentiasa memanjat doa kepada Allah semoga segala derita dan kesakitan yang ditanggung anaknya dapat dikurangkan.
Dalam masa sama, Abdul Halim, 60, reda dengan apa yang sudah ditakdirkan terhadap anak kesayangan, Faisal yang menjadi mangsa pihak tidak bertanggungjawab.
Sekalipun berat menerima ujian ini, namun, Abdul Halim menyifatkan anaknya yang juga pemain bola kesayangan ramai seorang yang ‘kebal’ dalam menghadapi ujian yang sangat sukar ketika ini.
Katanya, setakat ini, Faisal sangat kuat dan sudah boleh menerima kenyataan situasi yang sedang dilaluinya.
Justeru, Abdul Halim berkata, mereka berlapang dada menerima takdir itu dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan selanjutnya.
Beliau turut memanjat kesyukuran dan berterima kasih kepada semua pihak yang tidak putus- putus mendoakan kesembuhan anaknya.
“Alhamdulillah dia boleh terima diri dia siapa…. Alhamdulillah dia kuat, bagi saya dia 'kebal.'
“Saya amat- amat bersyukur dan teruja dengan sokongan (peminat) memberi semangat bagi kami sekeluarga terima qada dan qadar Allah. Kami sekeluarga reda dengan apa yang dikehendaki oleh sama-sama makhluk (di muka bumi ini), hanya tuhan (Allah) Yang Maha Mengetahui (apa yang berlaku),” kata Abdul Halim.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat yang dianjurkan Kelab Bola Sepak DNA Faisal Halim di Dewan Homestay Mengkuang Titi, di sini, malam tadi.
Abdul Halim juga berterima kasih kepada pihak berkuasa khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menjalankan siasatan untuk mencari keadilan buat anaknya.
Sementara itu, Abdul Halim berkata, dia akan pergi melawat Faisal dalam masa terdekat dalam memberi sokongan untuk pemulihan anaknya itu.
"Mungkin sehari dua lagi saya akan ke sana. Lagipun memang sejak hari kejadian keluarga sudah ada di sana kerana menyambut hari ulangtahun kelahiran anak Faisal.
"Ketika ini, kita (keluarga) tidak mahu kacau emosi dia, cuma dia dapat tahu bapa dia ada mai (datang) itu pun dah cukup boleh menguatkan dia," katanya.
Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat buat Faisal malam tadi dihadiri oleh lebih 300 peminat dan juga komuniti Mengkuang Titi memohon kesejahteraan dan kesembuhan buat pemain bola sepak kesayangan ramai itu.
Menurut Presiden Kelab bola sepak DNA Faisal Halim, Ammar Muhamad Pauzi, harapan mereka bintang Harimau Malaya itu akan segera sembuh dan kembali beraksi seterusnya menabur bakti meneruskan impian untuk melihat pembangunan bola sepak untuk anak- anak Mengkuang Titi.
Kata Ammar, kehadiran mereka ke majlis itu bertitik tolak pada kasih dan sayang kepada Faisal yang tidak pernah menolak membantu sesiapa sahaja yang memerlukan khususnya berhubung bimbingan bola sepak.
“Faisal Halim bukan sekadar pemain bola sepak, tetapi dia juga seorang yang sentiasa mahu melihat pembangunan bola sepak, mahu tolong orang lain nak lahirkan lebih ramai lagi Faisal Halim di Mengkuang Titi.
“Alhamdulillah, hari ini (seluruh) Malaysia buat semua (bacaan doa selamat), kami terharu. Semangat Faisal Halim kitab bawa, kita doakan, harap Allah beri kesembuhan ada Faisal Halim,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis itu berlangsung.
Pada Ahad lepas, Faisal mengalami kecederaan melecur tahap empat selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali menyebabkan kecederaan pada badannya.
Beliau dikatakan diserang ketika berada di sebuah pasar raya terkemuka di Kota Damansara, Petaling Jaya, sekitar pukul 5 petang.
Pemain yang disapa dengan panggilan ‘Mickey’ itu dilaporkan selesai menjalani pembedahan pertama di sebuah hospital di Shah Alam dan menjalani satu lagi pembedahan pada dalam usaha memastikan kesihatannya berada dalam keadaan stabil.
#Faisal Halim #Faisal Halim disimbah asid #mickey #doa selamat buat Faisal Halim
;