Faisal jalani fisioterapi intensif, pulihkan fungsi tangan kiri

Bernama
Julai 3, 2024 23:12 MYT
Johan berkata proses pemulihan Faisal berjalan lancar dan menunjukkan perkembangan yang positif. - Gambar Bernama
SHAH ALAM: Pemain kebangsaan dan tonggak utama Selangor FC (SFC) Muhammad Faisal Abdul Halim atau Faisal Halim mula menjalani fisioterapi yang lebih intensif bagi memulihkan fungsi pergerakan tangan kirinya.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SFC Dr Johan Kamal Hamidon berkata pemain sayap itu telah memulakan sesi intensif tersebut sejak beberapa hari lepas.
"Insya-Allah pada minggu hadapan, beliau juga akan mula membuat latihan larian bagi mendapatkan semula kecergasannya.
"Namun, latihan yang akan dilakukan Faisal hanya melibatkan rutin ringan memandangkan beliau masih dalam proses pemulihan," katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan Tabung Solidariti kepada Selangor FC di sini hari ini.
Beliau berkata proses pemulihan anak kelahiran Pulau Pinang itu juga berjalan lancar dan menunjukkan perkembangan yang positif.
Pada 5 Mei lepas, Faisal Halim menjadi mangsa simbahan asid di sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara menyebabkan beliau mengalami kelecuran tahap empat pada beberapa bahagian badan.
Sementara itu, Johan berkata pihaknya masih menunggu perkembangan terkini siasatan kes berkenaan daripada pihak polis.
-- BERNAMA
#Selangor FC #Faisal Halim #latihan larian #pemain sayap
;