Faisal Halim terharu keprihatinan Hamidin, FAM
Sinar Harian
Ogos 30, 2024 18:15 MYT
Ogos 30, 2024 18:15 MYT
TONGGAK bola sepak negara, Faisal Halim meluahkan rasa terharu di atas kepekaan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menjaga kebajikan pemain skuad kebangsaan.
Pemain berusia 26 tahun itu pada Khamis membuat kejutan ke atas rakan sepasukan skuad Harimau Malaya apabila mengunjungi sesi latihan mereka di Kelana Jaya sebagai persediaan mengharungi Pestabola Merdeka minggu depan.
Malah pemain kelahiran Pulau Pinang itu turut dikejutkan dengan kesudian Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin yang menghulurkan sumbangan peribadi kepadanya.
"Terima kasih kepada FAM khususnya presiden, Datuk Hamidin atas pemberian sumbangan ikhlas kepada saya pada pertemuan di Wisma FAM, Kelana Jaya, petang semalam (Khamis).
"Saya berasa cukup terharu dengan keprihatinan beliau dan FAM yang sentiasa menjaga kebajikan para pemain Harimau Malaya.
"Besar maknanya sumbangan yang saya terima ini kerana ia menjadikan saya lebih bermotivasi dan bersemangat untuk kembali pulih dan dapat beraksi semula bersama skuad Harimau Malaya," catat beliau menerusi Facebook pada Jumaat.
Faisal yang mesra disapa Mickey turut menyifatkan pertemuan dengan barisan kejurulatihan dan rakan sepasukan sebelum sesi latihan membangkitkan semangatnya untuk kembali bersama Harimau Malaya selepas ini.
“Tidak lupa juga kepada rakan-rakan media yang sentiasa setia membuat liputan mengenai perkembangan saya dan pasukan Harimau Malaya.
“Kepada semua, teruskan menyokong Harimau Malaya!” katanya. -- Sinar Harian
#Faisal Halim
#Persatuan Bolasepak Malaysia
#FAM
#Hamidin Mohd Amin
#harimau Malaya
#sumbangan peribadi
#simbah asid