Faisal Halim semakin positif, dijangka keluar hospital beberapa hari lagi
Hasimi Muhamad
Mei 22, 2024 18:25 MYT
Mei 22, 2024 18:25 MYT
KUALA LUMPUR: PEMAIN Selangor FC (SFC), Faisal Halim yang mengalami kelecuran tahap empat susulan disimbah asid baru-baru dijangka dibenarkan keluar dari hospital dalam tempoh beberapa hari lagi.
Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata doktor pakar akan menjalankan pemerhatian ke atas Faisal atau terkenal dengan jolokan 'Mickey' pada Khamis.
Ujarnya, prosedur keempat yang dijalankan ke atas pemain sayap kebangsaan itu juga berjalan lancar.
Shahril menambah prosedur selama enam jam itu melibatkan cantuman kulit atau skin grafting di bahagian lengan kiri dan badan Faisal, tanpa melibatkan bahagian muka.
"Tadi saya pun berjumpa Faisal, saya tengok perkembangannya sangat positif. Kita doakan sama-sama dan mungkin ada tanya dalam dua minggu setengah dan tiga minggu, perkembangan Faisal cepat. Kenapa cepat?
"Ada dua sebab pada pandangan aya. Pertama, doa semua rakyat Malaysia di luar sana yang banyak membantu Faisal. Kedua, doktor menggunakan teknologi baharu dan 'skin allograft'.
"Alhamdulillah kita juga berjaya bawa dari Belgium dalam masa 48 jam. Jadi pada hemah saya, sekiranya lambat, mungkin perkembangan (tahap kesihatan) Faisal tidak sepantas ini," katanya dalam sidang media, hari ini.
Mengulas lanjut, Shahril berkata pergerakan tangan Faisal turut menunjukkan perkembangan positif berbanding keadaan sebelum ini.
"Dia punya mobiliti (pergerakan) dah ada cuma agak terbatas pergerakan. Saya yakin bila ada program khusus (pergerakan Faisal akan pulih).
"Berjalan boleh tetapi sebab prosedur keempat adalah major, jadi pergerakannya agak terbatas," katanya lagi.
Dalam masa sama, beliau menjangkakan Faisal dapat kembali beraksi semula dalam tempoh tiga hingga enam bulan lagi.
Pada 5 Mei lalu, Faisal mengalami kecederaan melecur tahap empat pada beberapa bahagian anggota badan selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 19 Mei telah mengedarkan fotofit atau lakaran wajah dipercayai suspek terbabit serangan asid tersebut.