Faisal Halim ibarat pecahan yang hilang - Nidzam

Bernama
Jun 16, 2024 19:10 MYT
Nidzam berkata kehadiran pemain berusia 26 tahun itu yang lebih dikenali sebagai Faisal Halim tidak dijangka dan mengejutkan pemain dan barisan kejurulatihan. - Gambar fail/Stadium ASTRO
KUALA LUMPUR: Suasana emosi menyelubungi bilik persalinan Selangor FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) apabila pemain sayap sensasinya Mohamad Faisal Abdul Halim menjejakkan kaki buat kali pertama di situ sejak insiden disimbah asid awal bulan lepas.
Pengendali Selangor Nidzam Jamil berkata kehadiran pemain berusia 26 tahun itu yang lebih dikenali sebagai Faisal Halim tidak dijangka dan mengejutkan pemain dan barisan kejurulatihan.
Nidzam menyifatkan kehadiran pemain kebangsaan yang lebih mesra disapa Mickey itu mencetuskan inspirasi pasukan yang berjaya mara ke peringkat suku akhir Piala FA 2024/2025 selepas menjinakkan Negeri Sembilan 4-0 pada aksi pusingan pertama di Stadium MBPJ, semalam.
"Sudah tentu kehadiran Faisal tonik semangat sebab rasanya sudah sebulan Faisal tak bersama kami, ia seperti pecahan yang hilang. Jadi kami gembira Faisal ada untuk tengok perlawanan, beliau juga datang ke bilik persalinan sebelum perlawanan. Kami semua harap dia dapat kembali (bersama pasukan) segera.
"Suasana (dalam bilik persalinan) agak beremosi pada awalnya tetapi kami bergurau macam biasa, kami sangat rindu untuk berbual dengan beliau dan saya gembira untuk tengok perkembangan beliau," katanya ketika ditemui selepas perlawanan itu.
Khamis lepas, Faisal membuat penampilan pertama di khalayak umum pada sidang media khas di Pusat Latihan Selangor FC di Shah Alam selepas insiden disimbah asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat membeli-belah di sini, bulan lepas.
Susulan kejadian pada 5 Mei lepas itu, penjaring gol terbaik Piala Asia 2023 di Qatar, Januari lepas itu mengalami kecederaan melecur tahap empat pada beberapa anggota badan dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama kira-kira 10 hari.
Faisal dijangka dapat beraksi semula dalam tempoh tiga hingga enam bulan lagi bergantung kepada proses pemulihan yang sedang dilaluinya ketika ini.
Dalam pada itu, Nidzam gembira dengan keputusan dilakar Selangor dan komitmen ditunjukkan anak buahnya selepas menyekat hajat Negeri Sembilan.
"Saya ingat untuk Piala FA apa-apa keputusan positif yang membolehkan kita ke peringkat seterusnya, saya fikir dari segi keputusan dan komitmen kami (barisan kejurulatihan) gembira," kata jurulatih berusia 44 tahun itu.
Selangor akan membuat perhitungan menentang Kuching City FC pada peringkat suku akhir yang dijalankan secara timbal balik bermula hujung bulan ini.
-- BERNAMA
#Kuching City FC #suku akhir #Selangor FC #Faisal Halim
;