Faisal Halim dedikasikan hatrik kepada penyokong Selangor

Bernama
Mac 9, 2025 07:10 MYT
Faisal meraikan jaringan gol yang dilakukannya ketika menentang pasukan Kelantan Darul Naim FC pada saingan Liga Super Malaysia 2024/2025 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, 8 Mac 2025. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Pemain sayap Selangor FC, Mohamad Faisal Abdul Halim mendedikasikan jaringan hatriknya ketika menentang Kelantan Darul Naim FC dalam aksi Liga Super 2024/25, buat semua penyokong skuad Gergasi Merah.
Lebih manis, hatrik itu menamatkan kemarau jaringan Mohamad Faisal atau lebih dikenali sebagai Faisal Halim dalam saingan kompetitif sejak kembali beraksi selepas insiden simbahan asid pada Mei tahun lepas.
"Terima kasih kepada semua penyokong. Terima kasih kepada rakyat Selangor, tiga gol ini adalah tiga gol untuk anda semua rakyat Selangor, untuk pasukan Selangor.
"Terima kasih kepada kawan-kawan saya, terima kasih pengurusan, terima kasih penyokong Selangor," katanya dalam hantaran di Instagram Story Selangor FC.
Dalam perlawanan berdepan Kelantan Darul Naim di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada Sabtu, Faisal Halim mencipta hatrik selepas meledak jaringan pada minit ke-13, minit ke-45+2 dan minit ke-66 untuk membantu Selangor melakar kemenangan 7-0.
Empat lagi gol skuad kendalian Katsuhito Kinoshi itu masing-masing dijaringkan Quentin Cheng pada minit ke-31, Harith Haiqal Adam Afkar (minit ke-54 dan 56) dan Muhammad Aliff Izwan Yuslan (minit ke-73).
Pada 5 Mei tahun lepas, Faisal Halim menjadi mangsa simbahan asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya sekali gus mengalami kecederaan melecur tahap empat pada beberapa anggota badan dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama kira-kira 10 hari.
-- BERNAMA
#Faisal Halim #Selangor FC #hatrik #Liga Super
;