Faisal Halim bukti 'pendekar' sejati - Irfan Bakti
Sinar Harian
Ogos 15, 2024 15:15 MYT
Ogos 15, 2024 15:15 MYT
PEMAIN Selangor FC, Faisal Halim layak dilabel pejuang sejati apabila mampu bangkit walaupun berdepan trauma selepas menjadi mangsa simbahan asid pada Mei lalu.
Jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim berkata, bukan mudah untuk melalui situasi dilalui Faisal atau lebih dikenali Mickey itu, namun pemain skuad negara tersebut menunjukkan semangat luar biasa untuk terus bermain.
Malah kata Irfan, kembalinya pemain berusia 26 tahun itu di padang walaupun hanya selepas tiga bulan pulih daripada kelecuran teruk seharusnya menjadi contoh kepada pemain lain.
Sebelum ini, doktor menjangkakan Faisal perlu berehat sekurang-kurangnya enam bulan, namun pemain lincah bertubuh kecil tersebut mengejutkan ramai apabila sudah mampu beraksi selepas kira-kira tiga bulan daripada tarikh insiden itu.
“Saya melihat semangat luar biasa dimiliki Faisal dan dia merupakan contoh terbaik kecekalan kepada pemain lain. Dia berusaha untuk kembali bangkit walaupun apa yang dia lalui sukar digambarkan.
“Apabila kita tengok dia dapat kembali bermain atas padang, nampak dia sangat puas dan dapat melepaskan rasa geram untuk beraksi. Malah dari raut wajahnya, seolah-olah tidak nampak langsung dia masih terkesan dengan kejadian itu.
“Namun, dalam masa sama saya mengharapkan dia supaya berhati-hati dan sentiasa mengikut nasihat doktor memastikan kecederaan yang dihadapinya itu benar-benar pulih,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.
Faisal yang sebelum ini mengalami kelecuran tahap empat akibat disimbah asid oleh individu tidak dikenali diturunkan Selangor sebagai pemain gantian dalam dua perlawanan Liga Super menentang Kelantan Darul Naim FC dan Sabah FC.
Dalam pada itu, Irfan Bakti percaya Faisal mampu untuk kembali berada pada tahap terbaiknya, namun perlu diberikan masa dan ruang yang cukup.
“Faisal ini antara pemain terbaik dalam industri bola sepak kita. Saya yakin dia akan berusaha untuk berada pada tahap seperti sebelum ini, tetapi ia sangat berkait dengan masa.
“Dengan sokongan kuat daripada pasukannya dan orang sekeliling sudah tentu dia akan mampu kembali menggegar bola sepak negara. Peluang untuknya beraksi seperti diberikan Selangor sekitar 10 minit dalam setiap perlawanan juga banyak membantu,” katanya. -- Sinar Harian
#Faisal Halim
#pemain Selangor FC
#pendekar sebenar
#Irfan Bakti Abu Salim
#disimbah asid
#Liga Super