Fahmi optimis kepimpinan baharu mampu pacu KL City ke tahap membanggakan
Bernama
Oktober 17, 2024 06:15 MYT
Oktober 17, 2024 06:15 MYT
KUALA LUMPUR: Penaung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Fahmi Fadzil optimis kepimpinan baharu mampu membawa Kuala Lumpur City FC (KL City) ke tahap yang lebih membanggakan.
Fahmi yang juga Penaung KL City, turut menzahirkan keyakinan bahawa kepimpinan baharu KLFA diterajui Presidennya iaitu Syed Yazid Syed Omar mampu menguruskan entiti itu dengan baik terutama dalam memastikan kedudukan kewangan skuad ibu kota lebih stabil.
"Sejujurnya, jika diuruskan dengan baik saya percaya KL City wajar berada dalam kelompok lima teratas liga tetapi kita akan berusaha ambil pengajaran daripada apa yang telah berlaku dan pasukan akan bekerja keras pada masa akan datang.
"Bukan mudah, ada beberapa aspek pengurusan tatakelola atau tadbir urus yang perlu ditambah baik tetapi sekiranya KLFA dan KL City diurus secara mapan, saya percaya ia akan dicerminkan dalam mutu permainan di atas padang," katanya.
Menteri Komunikasi itu berkata demikian kepada pemberita pada Malam Eksklusif Bersama Penaung KL City FC, Presiden KLFA dan Ahli-Ahli Jawatankuasa Eksekutif KLFA yang baharu, di sini, malam tadi.
Sabtu lepas, Syed Yazid dipilih sebagai Presiden untuk menerajui KLFA pada Kongres ke-35 bagi sesi 2024 hingga 2028 manakala dua jawatan Timbalan Presiden dimenangi Datuk Kamarudin Hassan dan Datuk Sri Wong Yeon Chai.
Selepas mengharungi 11 perlawanan Liga Super 2024/2025, skuad kendalian Miroslav Kuljanac itu menghuni tangga kelapan liga dengan 11 mata.
Fahmi turut memaklumkan, terdapat beberapa syarikat korporat yang menunjukkan minat untuk memberi komitmen sebagai penaja KLFA.
Justeru, beliau meminta kepimpinan KLFA diberi sedikit masa untuk meneliti aspek komersial sebelum membuat pengumuman selanjutnya berhubung penajaan baharu.
Sebelum ini, pemain KL City dilapor berdepan tunggakan bayaran gaji selain caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Pertubuhan Keselamatan Sosial. - BERNAMA