Fahami keupayaan tubuh badan ketika bersukan, elak kecederaan ACL & PCL

Nursyazwani Saiful Sham
Mei 15, 2024 20:03 MYT
Dr Badrul Akmal (kiri) dan Dr Muhammad Naqib (kanan) membincangkan topik kecederaan sukan dan perkhidmatan yang ditawarkan UKMSC dalam AWANI Pagi pada Rabu. - Gambar Astro AWANI
KUALA LUMPUR : Kecederaan sukan boleh berlaku apabila bersukan, beriadah ataupun semasa kemalangan kecil.
Faktor lain yang menyumbang kepada kecederaan itu juga termasuk latihan yang tidak sempurna atau alatan yang tidak sesuai.
Bagaimanapun, menurut Pakar Perunding Pembedahan Ortopedik UKM Specialist Centre, Profesor Madya Datuk Dr Badrul Akmal Hisham, kecederaan lutut yang menyebabkan ligamen krusiat anterior (ACL) dan ligamen krusiat belakang (PCL) adalah antara yang selalu berlaku.
“Kebiasaannya, kecederaan sukan yang melibatkan lutut adalah ACLP dan PCL. Itu adalah kecederaan ligamen paling kerap berlaku terhadap kebanyakan pesakit mahupun atlet.
“Ini kerana budaya sukan di negara kita agak signifikan dengan kecederaan ini. Kecederaan ini juga sebenarnya boleh berlaku di semua peringkat usia.
“Bagi mengelakkan daripada berlaku kecederaan ini, sebenarnya kita sendiri perlu tahu keupayaan tubuh kita. Sebab dalam apa juga aktiviti badan kita akan memberi tindak balas. Sekiranya selepas bersukan dan merasakan alami kecederaan, segera dapatkan rawatan pakar,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa program AWANI Pagi pada Rabu yang membincangkan topik kecederaan sukan dan perkhidmatan yang ditawarkan UKM Specialist Centre (UKMSC).
AWANI Pagi: Rawatan kecederaan sukan
Selain rawatan ortopedik, UKMSC turut menawarkan pelbagai khidmat rawatan lain termasuk tenaga pakar yang berpengalaman luas dalam bidang masing-masing.
Menurut Ketua Pegawai Operasi UKMSC, Dr Muhammad Naqib Md Ghazali, ketika ini UKMSC menyediakan 56 katil bagi merawat pesakit.
“Selain rawatan kecederaan sukan, UKMSC yang terletak di private wing tingkat tujuh di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM juga menyediakan 56 katil bagi tujuan rawatan susulan.
“Pelbagai perkhidmatan yang kami sediakan di UKMSC dan sehingga kini ada 140 pakar dalam bidang masing-masing.
“UKMSC juga merancang untuk membangunkan bangunan sendiri dengan kelengkapan katil yang lebih banyak, kelengkapan teknologi terkini dan pakar yang lebih ramai, kami mengharapkan ia dapat memanfaatkan kepada pesakit dengan rawatan yang lebih canggih,” jelasnya.
#UKMSC #kecederaan sukan #ACL #PCL
;