Fabregas berganding semula dengan Henry

Ian Johan Ariff
Januari 12, 2019 13:49 MYT
Cesc Fabregas sertai Monaco selepas 138 penampilan untuk Chelsea sejak 2014. REUTERS
PEMAIN tengah Chelsea, Cesc Fabregas berganding semula dengan bekas rakan sepasukannya di Arsenal, Thierry Henry, dengan menyertai Monaco.
Kali ini hubungan mereka di atas padang berbeza, kerana Henry bukan lagi seorang pemain tetapi merupakan pengurus bagi skuad Ligue 1 Perancis itu.
Fabregas, 31 tahun menandatangani kontrak selama tiga tahun enam bulan, meninggalkan Chelsea selepas membuat lebih 130 penampilan buat skuad the Blues.
Sebelum menyertai Chelsea, Fabregas menyertai Barcelona pada 2011, selepas membuat 303 penampilan untuk Arsenal dari tahun 2003 hingga 2011.
Laporan BBC menyebut, Monaco tidak membayar apa-apa yuran kepada Chelsea untuk mendapatkan khidmat Fabregas tetapi akan membayar bonus kepada kelab London itu berdasarkan prestasi semasanya.
Di Chelsea, Fabregas tidak mendapat tempat dalam kesebelasan utama di bawah pengurus Antonio Conte dan juga Maurizio Sarri.
Dia diberi peluang untuk menggalas tugas sebagai ketua pasukan skuad the Blues dalam perlawanan terakhirnya untuk kelab itu, pada saingan Piala FA minggu lepas.
Sepanjang 501 perlawanan di Liga Perdana Inggeris (EPL), Fabregas memenangi dua gelaran EPL, dua Piala FA dan satu Piala Liga Inggeris.
Bersama Barcelona, bekas pemain antarabangsa Sepanyol itu memenangi enam piala termasuk La Liga dan Kejohanan Kelab Dunia FIFA.
#Arsenal #barcelona #Cesc Fabregas #Chelsea #January Transfer #Liga Perdana Inggeris #Monaco #Thierry Henry
;